BMI normal tidak sesuai ambil ‘pen kurus’

BMI normal tidak sesuai ambil ‘pen kurus’

Trend pengambilan pen kurus menjadi jalan pintas segelintir individu bagi menurunkan berat badan dengan cepat.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBELAKANGAN ini, topik berkaitan penggunaan ubat suntikan seperti ozempic dan saxenda semakin hangat dibincangkan di media sosial.

Ubatan untuk pesakit diabetes dan obesiti itu kini menjadi trend baharu bagi golongan yang ingin menurunkan berat badan dengan cepat.

Fenomena ini sekali gus mendorong segelintir individu termasuk yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) normal untuk mencubanya.

Lebih membimbangkan, apabila ada yang mendapatkan ‘pen kurus’ secara dalam talian tanpa preskripsi atau nasihat profesional kesihatan.

Ahli Farmasi dan Pensyarah Farmasi Klinikal, Fakulti Farmasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Ahmad Kamal Ariffin Abdul Jamil RPh berkata, penggunaan ozempic dan saxenda oleh individu sihat tidak wajar dan boleh membawa risiko kesihatan serius.

“Tindakan mahu cepat kurus boleh menyebabkan malnutrisi, ubat-ubatan ini bukan untuk orang yang sihat dan BMI normal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, ozempic digunakan untuk rawatan diabetes mellitus (kencing manis) terutama dalam kalangan pesakit yang berlebihan berat badan.

Namun, ubat ini tiada kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) untuk rawatan obesiti.

Manakala, saxenda pula mendapat kelulusan FDA bagi rawatan obesiti untuk pesakit yang mempunyai BMI 30 ke atas.

Kedua-dua ubat itu tergolong dalam kategori agonis reseptor GLP-1 (GLP-1 Receptor Agonist) yang bertindak melambatkan pengosongan gastrik, menghalang perembesan glukagon dan merangsang pengeluaran insulin, justeru mengurangkan hiperglisemia serta mengurangkan paras gula darah.

Bahkan, ia turut memberikan rasa kenyang berpanjangan, menjadikannya antara rawatan yang dianggap berkesan untuk obesiti.

Kesan buruk ambil tanpa preskripsi

Penggunaan ubat-ubatan seperti ozempic dan saxenda tanpa preskripsi dan pemantauan doktor boleh membawa pelbagai kesan buruk.

Jika pengambilan dos salah dan berlebihan boleh mengundang kesan sampingan seperti loya, muntah, dehidrasi atau pankreatitis yang teruk.

Selain itu, Ahmad Kamal Ariffin berkata, para pesakit yang mengambil ubat daripada kumpulan DPP4 inhibitors seperti saxagliptin tidak boleh digabung bersama ubat agonis reseptor GLP kerana akan menyebabkan kesan sampingan.

Ozempic dan saxenda juga berpotensi menyebabkan hipoglisemia (paras gula rendah) jika pesakit mengambil suntikan insulin dan ubat diabetes kumpulan sulphonylurea.

Malah, pembelian ozempic tanpa preskripsi doktor contohnya daripada sumber tidak sah dalam talian atau pasaran gelap berisiko tinggi menyebabkan individu mendapat ubat palsu.

“Ia bukan sahaja tidak memberikan kesan rawatan malah boleh memudaratkan pesakit.

“Masyarakat perlu faham bahawa ubat bukanlah cara terbaik untuk kurus. Kawalan kalori pemakanan dan gaya hidup aktif jauh lebih selamat dan berkesan,” katanya.

Ahmad Kamal turut menyifatkan trend penggunaan ozempic dan saxenda secara tidak terkawal sebagai satu ancaman kepada kesihatan awam.

“Penyalahgunaan ubat-ubatan di luar indikasi akan meningkatkan permintaan. Dalam jangka panjang, ia akan menyebabkan kekurangan bekalan khususnya untuk pesakit yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Lebih menyedihkan, katanya, kos ubat yang tinggi akan mengakibatkan pembaziran wang jika disalah guna semata-mata untuk tujuan penurunan berat badan jangka pendek tanpa asas perubatan.

Berat boleh naik semula

Ozempic dan saxenda diberikan melalui suntikan subkutaneous atau suntikan ke dalam lapisan bawah kulit.

Ahmad Kamal Ariffin berkata, ozempic perlu disuntik seminggu sekali manakala saxenda pula setiap hari.

Dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2 yang menggunakan ozempic, penurunan berat badan yang direkodkan antara tiga hingga 6.4 kilogram dalam sebulan.

“Tahap maksimum penurunan berat badan yang dianggap selamat adalah sekitar satu kilogram seminggu atau empat kilogram sebulan.

“Namun, jika pesakit tidak mengawal pemakanan dan keseimbangan kalori tidak berlaku, berat boleh kembali naik,” jelasnya.

Berat badan juga boleh meningkat semula selepas berhenti menggunakan ubatan ini.

Katanya, rasa kenyang yang sebelum ini dirangsang oleh ubat mula hilang, lalu menyebabkan individu makan secara berlebihan.

Namun, bagi pesakit yang konsisten menjaga diet, aktif bersenam dan mengawal pengambilan kalori, risiko kenaikan semula berat badan adalah lebih rendah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN