Cubaan seludup masuk ubat gigi bernilai RM35,000 gagal - Utusan Malaysia

Cubaan seludup masuk ubat gigi bernilai RM35,000 gagal

UBAT gigi yang cuba dibawa masuk secara tidak sah ke negara ini dari China berjaya dirampas pihak berkuasa KPDNHEP dan JKDM dalam serbuan di pelabuhan Northport, Klang, Selangor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Cubaan menyeludup ubat gigi tidak sah bernilai RM35,000 menggunakan sebuah kontena dari China ke negara ini gagal apabila disita pihak berkuasa di pelabuhan Northport di sini, semalam.

Perkara itu berjaya dihidu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dan  Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang menjalankan serbuan ke atas kontena dari Pelabuhan Ningbo berkenaan.

Pengarah KPDNHEP negeri, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, operasi itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada wakil sebuah jenama ubat gigi terkemuka mengenai pelanggaran cap dagang.

Katanya, kerjasama strategik kemudian segera digerakkan dengan JKDM untuk tindakan pemeriksaan secara menyeluruh.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 50 kotak mengandungi 72 ubat gigi jenama terlibat berada dalam kontena berkenaan.

“Jenama itu disyaki menyerupai dengan suatu cap dagangan berdaftar atau sah yang dimiliki oleh sebuah syarikat terkenal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Muhamad Zikril, siasatan pihaknya turut mendapati kemungkinan berlaku kesilapan ejaan melibatkan cap dagangan asal tersebut. 

“Kontena berkenaan didapati dimuatkan atau membawa sejumlah barangan yang disyaki melakukan pelanggaran cap dagangan.

“Kesemua ubat gigi yang tiba di pelabuhan berkenaan pada 2 November lalu itu dianggarkan bernilai RM35,000 dan disita untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 99 (1) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu pemelancungan cap dagang dengan niat untuk menipu atau memalsukannya.

“Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, Muhamad Zikril memberi amaran kepada semua individu atau syarikat supaya bertanggungjawab menjalankan aktiviti perniagaan sama ada secara dalam talian atau fizikal terutama melibatkan kualiti dan keselamatan pengguna.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya