Calon KM? PN tak terburu-buru - Utusan Malaysia

Calon KM? PN tak terburu-buru

WAN Saiful Wan Jan (tengah) bersama calon-calon PN dalam PRN Melaka menunjukkan tanda isyarat bagus dalam sidang akhbar di Pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya, Kota Fesyen MITC, Melaka. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perikatan Nasional (PN) tidak terburu-buru menamakan calon Ketua Menteri Melaka Ke-13 sekiranya membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nevember ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, fokus PN ketika ini adalah untuk memenangi PRN terlebih dahulu.

Jelas beliau, soal calon Ketua Menteri sebaiknya diserahkan kepada Majlis Tertinggi PN.

“Saya rasa biar kita fokus terlebih dahulu dengan PRN dan kemudian baru umum calon Ketua Menteri. Sebenarnya telah ada perbincangan dan sudah ada idea, siapa yang hendak dinamakan bagi mengisi jawatan berkenaan. 

“Siapa ada dalam dewan undangan negeri (DUN),  kita akan pilih jadi calon Ketua Menteri dan biar Majlis Tertinggi yang umumkan nanti,” katanya dalam sidang akhbar PN di sini hari ini.

Yang hadir sama Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek dan Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam.

Terdahulu, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)  menamakan calon Ketua Menteri masing-masing iaitu Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang juga penyandang kerusi DUN Lendu dan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.

Berhubung kerjasama dengan parti lain jika tidak mencapai majoriti, Wan Saiful berkata, perkara itu akan dinilai selepas PRN tamat.

Menurutnya, PN mahu memenangi seberapa banyak kerusi bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.

“Saya harapkan rakyat Melaka mengambil iktibar daripada apa yang berlaku ketika ini dengan memilih PN bagi membentuk kerajaan majoriti. Saya tidak suka membuat spekulasi, kita lihat selepas PRN nanti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya