SHAH ALAM: Calon N04 Lendu, Datuk Seri Sulaiman Mohd. Ali disarankan supaya bersedia untuk berdebat bersama calon Ketua Menteri yang lain pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai calon jawatan nombor satu, Sulaiman nama yang disebut sebagai Ketua Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi PRN Melaka sepatutnya menyahut cabaran tersebut.
“Saya kurang faham mengapa calon Ketua Menteri Melaka daripada BN tidak bersedia menghadapi perbahasan dengan calon-calon Ketua Menteri yang lain.
“Sebab jika kita ingin menonjolkan diri sebagai ketua kita perlu bersedia untuk sampaikan kepada rakyat dan jawab apa-apa soalan dibangkitkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai Sesi Townhall Undi18 di Bangunan SUK hari ini yang turut dihadiri Exco Generasi Muda dan Modal Insan negeri, Mohd. Khairuddin Othman.
Mengulas mengenai isu pengisytiharan antirasuah, Anwar memaklumkan setakat pengisytiharan semata-mata tidak membawa makna.
“Sepatutnya pemimpin-pemimpin kanan parti itu harus bersedia untuk disiasat terhadap semua penyalahgunaan kuasa yang berlaku,” katanya.
Menjawab sama ada PRN Sarawak wajar ditangguhkan disebabkan kes Covid-19 meningkat, beliau pada dasarnya bersetuju.
Katanya, jika penangguhan melibatkan soal keselamatan dan kesihatan beliau langsung tiada halangan.
“Kita perlu melihat pada data dan Sains. Jangan jadi seperti kesilapan Melaka, Kerajaan UMNO telah menasihat Tuan Yang Terutama (TYT).
“Kita tengok sekarang prosedur operasi standard (SOP) tidak tentu arah. Apa kaitan lambang dengan kesihatan, apakah memakai lambang menjejaskan kesihatan,” jelasnya.










