Burger naik harga: Bahan mentah jadi faktor - Utusan Malaysia

Burger naik harga: Bahan mentah jadi faktor

NORHASNIZA Hassan menjalankan perniagaan burger di Taman Serai Merbau di Bagan Serai, Perak.  - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Peniaga burger di sini tidak menolak kemungkinan terpaksa menaikkan harga jualan berikutan kenaikan semua harga barangan mentah yang diperlukan untuk membuat makanan segera itu.

Peniaga mendakwa kenaikan berlaku pada daging atau ayam untuk membuat burger, sayur seperti kobis, salad, mentimun serta sos cili manakala telur juga naik harga tetapi mengikut pasaran semasa.

Kenaikan bahan mentah itu, kata peniaga, mula dirasai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19 lagi dan semakin ketara sejak tiga bulan lalu.

Seorang peniaga burger, Norhasniza Hassan, 34, berkata, sebagai contoh harga burger daging naik antara 30 sen hingga 40 bagi berat 60 gram manakala bagi berat 70 gram, ia  naik sehingga 50 sen.

Katanya, ini tidak termasuk kenaikan bahan mentah lain seperti sos cili sehingga 50 sen manakala keju naik RM2.

“Kenaikan harga bahan mentah ini menyebabkan kos meningkat namun saya masih menjual burger pada harga lama iaitu RM3 bagi burger biasa.

“Saya sudah berniaga di sini sejak 11 tahun lalu dan kenaikan kali ini agak ketara sehingga menjejaskan keuntungan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Serai Merbau di sini hari ini.

Menurutnya, begitupun setakat ini dia belum lagi menaikkan harga jualan malah masih menjual pada harga lama seperti burger ayam RM3, ayam special RM4, ayam keju RM4 dan ayam double RM4.50.

“Namun kalau kenaikan harga bahan mentah berterusan, saya tak pasti sama ada akan terus menjual pada harga lama atau menaikkan sedikit harga jualan,” katanya.

Menurutnya, pihak yang berkenaan perlu melihat punca kenaikan harga barang mentah di pasaran supaya tidak membebankan pengguna. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN