SEOUL: Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) Amazon menyekat lebih 1,800 warga Korea Utara daripada memohon pekerjaan dengan syarikat itu.
Ketua Pegawai Keselamatan Amazon, Stephen Schmidt berkata, warga Korea Utara dikesan cuba mendapatkan pekerjaan IT secara jarak jauh dengan syarikat di seluruh dunia, khususnya di AS menggunakan pelbagai helah penyamaran.
Menurutnya, Amazon mencatatkan peningkatan hampir satu per tiga dalam jumlah permohonan pekerjaan yang dikaitkan dengan warga Korea Utara sepanjang tahun lalu, sekali gus membimbangkan dari sudut keselamatan siber dan pematuhan undang-undang.
Schmidt menjelaskan, kebanyakan individu terbabit menggunakan kaedah dikenali sebagai ‘ladang komputer riba’, iaitu komputer yang berada di AS tetapi dikendalikan dari luar negara bagi mengaburi lokasi sebenar pemohon.
Beliau turut memberi amaran isu berkenaan bukan hanya melibatkan Amazon, sebaliknya dipercayai berlaku secara meluas dalam industri teknologi global, berikutan peningkatan kerja jarak jauh.
Antara petunjuk yang dikenal pasti termasuk nombor telefon yang tidak diformat dengan betul serta kelayakan akademik yang mencurigakan, sekali gus membantu syarikat mengesan permohonan palsu.
Pada Julai lalu, seorang wanita di Arizona dijatuhi hukuman penjara lebih lapan tahun kerana mengendalikan ‘ladang komputer riba’ yang membantu pekerja IT Korea Utara mendapatkan pekerjaan di lebih 300 syarikat AS, dengan skim itu menjana lebih AS$17 juta.
Sementara itu, agensi perisikan Korea Selatan sebelum ini memberi amaran bahawa ejen Korea Utara turut menggunakan platform LinkedIn untuk menyamar sebagai perekrut, menyasarkan pekerja sektor pertahanan bagi mendapatkan maklumat teknologi sensitif.










