Bukan semua ahli PH terima Idris, Nor Azman - Utusan Malaysia

Bukan semua ahli PH terima Idris, Nor Azman

HOWARD Lee Chuan How (empat dari kiri) ketika sidang akhbar Pemuda PH di Graha Amanah Melaka, Bukit Katil, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tidak dapat dinafikan, terdapat segelintir ahli parti mempunyai pandangan peribadi tidak bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan menerima dan mencalonkan dua bekas pemimpin UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Howard Lee Chuan How.

Bagaimanapun beliau berkata, Pemuda PH akur dengan keputusan tersebut dan menyerahkan urusan menilai tindakan itu, sama ada tepat atau tidak kepada rakyat.

“Kami Pemuda PH akur dengan keputusan dibuat, walaupun ada dalam kalangan kami tidak bersetuju atas sebab yang kukuh dan kuat.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu menyatakan pendirian peribadi kerana ini bukan tempat yang sesuai. Biarlah rakyat Melaka yang menilai sama ada keputusan yang dibuat itu tepat atau sebaliknya,” katanya pada sidang akhbar di Graha Amanah Melaka, Bukit Katil di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman mengenai pencalonan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan atas tiket PH.

Idris dijangka menghadapi pertembungan tiga penjuru dengan calon Barisan Nasional (BN), Fairul Nizam Roslan dan calon Perikatan Nasional (PN), B. Dhanesh.

Seorang lagi yang dicalonkan ialah penyandang DUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan bakal mempertahankan kerusi tersebut.

Dalam pada itu, Howard memberitahu, lebih 35 peratus daripada calon yang dikemukakan PH terdiri daripada orang muda berusia 40 tahun ke bawah dan perkara itu dilihat sebagai satu peluang dalam menyelesaikan krisis golongan belia.

“Kita perlu mengangkat anak muda ini sebagai wakil rakyat dalam menyelesaikan masalah khususnya membabitkan masalah dihadapi golongan ini, termasuk isu pengangguran yang semakin meningkat.

“Golongan muda yang paling terkesan dengan impak ekonomi, siapa lagi yang lebih layak untuk mengambil tindakan kalau bukan mereka,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya