Boleh berjalan, tapi tahap oksigen membahayakan - Shahrulezad - Utusan Malaysia

Boleh berjalan, tapi tahap oksigen membahayakan – Shahrulezad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Sutradara terkenal, Shahrulezad Mohammedin memaklumkan, tahap kandungan oksigennya mengalami penurunan dan perkara itu menyuntik rasa bimbang buatnya.

Ini kerana, katanya, menerusi makluman doktor yang merawat, dia kini berkemungkinan berdepan dengan sindrom Happy Hypoxia yang dianggap bahaya kepada pesakit Covid-19.

“Hari ini kadar oksigen menurun kepada kiraan 94. Menurut doktor, ia mungkin disebabkan virus Covid-19 itu telah menyerang paru-paru. Jadi, ia mengganggu tahap oksigen saya. Doktor bimbang saya alami sindrom Happy Hypoxia. Nak tahu apa Happy Hypoxia, sila Google sendiri.

“Difahamkan, sindrom ini sangat bahaya untuk pesakit Covid-19. Ia dipanggil pembunuh senyap dalam keadaan pesakit itu tengah ‘gembira’ lah gamaknya. Dia mungkin ingat, dia okey, macam orang normal.

“Tak ada sesak nafas, boleh berjalan macam biasa. Tapi tanpa sedar, kandungan oksigen dalam badannya sebenarnya sangat membahayakan.Tahu-tahu dia boleh jatuh pengsan atau matu macam itu saja,”katanya.

Shahrulehezad atau lebih dikenali sebagai Ijat berkongsi perkara itu menerusi akaun Instagramnya pada hari ini.

Selain itu, dia juga melihat kepentingan agar setiap isi rumah memiliki satu alat oxymeter untuk menyukat tahap oksigen masing-masing dalam keadaan wabak yang masih ‘hidup’ di sekeliling kita.

“Wajib ada satu di setiap rumah masing-masing. Sekurang-kurangnya, tahap oksigen kita tidak kurang daripada 95.

“Bawah 95, cepat-cepat pergi jumpa doktor walaupun anda rasa anda sihat dan tak alami sesak nafas.Ingat tak peristiwa ramai penduduk di Wuhan, China dan dunia yang tiba-tiba jatuh pengsan di tepi jalan?

“Ia kemungkinan kerana mereka alami sindrom ini. Mereka fikir mereka okey, tapi sebenarnya tak tahu virus sudah kacau tahap oksigen dalam badan.Tahu-tahu terbaring dan meninggal di tepi jalan tanpa sedar,”katanya.

Dalam pada itu, pengarah drama Nur dan Takdir Yang Tertulis ini juga tidak lupa menasihati pengikut dan peminatnya di media sosial agar sentiasa menjaga diri selain meluahkan rasa syukur memilih Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Serdang (Maeps) sebagai tempat kuarantin.

“Di sini, semua petugas barisan hadapannya cekap dan sepanjang masa memantau keadaan saya. Kalau kuarantin di rumah ni, mana saya nak dpaat mesin oksigen ini? Mesin basuh adalah,”katanya.

Shahrulezad disahkan positif Covid-19 selepas mengadu tidak sedap badan kurang lebih seminggu yang lalu.

Dia mula ditempatkan di pusat rawatan tersebut sejak Jumaat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN