MELAKA: Barisan Nasional (BN) yakin dapat membentuk kerajaan baharu sekiranya jentera Jalinan Rakyat (JR) calon-calon wanita berjaya menarik pengundi putih untuk keluar mengundi.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN berpeluang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya penyokong setia parti berjaya dipujuk untuk membuang undi pada 20 November ini.
Katanya, peranan itu perlu dimainkan oleh jentera JR termasuk di Pengkalan Batu, Rim, Durian Tunggal, Kesidang dan Sungai Rambai.
“Kita ada harapan untuk menang di Pengkalan Batu, Rim dan lain-lain kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan syarat wanita punya jentera JR semua dah siapkan kita punya kajian sikap.
“Tak guna kata pengundi putih ada 80 peratus kalau 70 peratus tak keluar mengundi. Kena pastikan 80 peratus pengundi putih itu keluar mengundi pada 20 November,” katanya ketika berucap di Bukit Piatu di sini.
Hadir sama, calon BN DUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin dan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd Ali.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, keputusan PRN Melaka juga merupakan petanda besar sokongan rakyat terhadap BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Apa sahaja keputusan pada PRN ini, ia menggambarkan setakat mana sokongan diberikan rakyat kepada BN pada PRU-15 nanti.
“Jadi mahu tidak mahu, kita mesti menang, orang (parti lawan) nak lihat UMNO dan BN terkubur di sini, maka elok kita siapkan pula kain kafan untuk kuburkan mereka di sini,” tegasnya.









