Berkorban sambut Deepavali pantau air laut pasang besar - Utusan Malaysia

Berkorban sambut Deepavali pantau air laut pasang besar

B. GANESAN (baju oren) bersama Azmizam Zaman Huri (kanan) memantau kejadian banjir akibat fenomena air laut pasang besar di Taman Teluk Gedung Indah di Klang, Selangor awal pagi tadi. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Fenomena air laut pasang besar yang melanda Pantai Barat Semenanjung pada hari pertama sambutan perayaan Deepavali menyebabkan tidak semua masyarakat India di negara ini dapat menyambutnya bersama keluarga.

Disebabkan itu juga, seorang Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Klang, B. Ganesan terpaksa mengorbankan cutinya untuk memantau keselamatan seluruh penduduk di Klang yang terjejas dengan kejadian air laut pasang besar.

Menurutnya, seawal pukul 3 pagi hari ini, beliau sudah pun meninggalkan rumah untuk memulakan tugas.

“Pagi ini saya bangun pukul 3 pagi dan membuat pemantauan di lokasi seperti Teluk Gadai Indah, Selat Damai dan sekitar Pelabuhan Klang.

“Hari ini Deepavali serentak dengan fenomena air pasang besar. Demi tugas kerja-kerja pemantauan harus dilaksana demi memastikan air pasang besar tidak menjejaskan penduduk Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat pemantauan di Taman Teluk Gedung Indah bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Terdahulu, kelmarin Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang (JPBD), Mohd. Shahrizal Mohd. Salleh berkata sebanyak 11 kawasan di sekitar daerah ini dikenal pasti berisiko dilanda banjir berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku bermula hari ini hingga Ahad ini.

Mohd. Shahrizal berkata, kawasan yang dikenal pasti ialah Kampung Tok Muda, Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pandamaran, Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang, Kampung Sungai Serdang, Ban Sementa, Ban Sungai Keramat, Kampung Perepat, Pelabuhan Utara, Telok Gong dan Pulau Ketam.

Bagaimanapun, Ganesan yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan berkata, dia dan isteri serta empat anak tetap akan menyambut Deepavali di Klang terlebih dahulu sehingga air pasang besar berakhir.

“Saya akan membuat pemantauan air pasang besar di kawasan Pelabuhan Klang ini. Pemantauan ini penting untuk kita meningkatkan langkah membendung kenaikan aras air laut,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya