ISKANDAR PUTERI: Belanjawan Johor 2022 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad diyakini mampu membantu kerajaan negeri mencapai hasrat untuk kembali merancakkan agenda pertumbuhan ekonomi setempat.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, perancangan teliti itu dilihat akan turut memberi limpahan manfaat kepada Wilayah Iskandar Malaysia.
Katanya, IRDA mempunyai pelbagai perancangan yang menepati strategi dan matlamat Belanjawan Johor tahun depan.
“Ini juga merupakan cabaran buat kami untuk meluaskan dan mempercepat pelbagai projek yang berada dalam perancangan untuk mencapai matlamatnya.
“Mengambil contoh sektor pertanian moden yang baharu diumumkan di wilayah ini dan dengan peruntukan RM34 juta diberikan Kementerian Kewangan kepada Johor, ia akan menjadi katalis untuk inisiatif berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Ismail, pihaknya sudah melakukan perbincangan dengan beberapa pihak yang berminat untuk pelaksanaan projek berkaitan sama ada syarikat domestik mahu pun antarabangsa.
“Sementara itu, insentif khas buat sektor pelancongan dan penambahbaikan terhadap infrastruktur pelancongan serta pelan pemasaran juga boleh dilihat sebagai pelengkap kepada pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi ketika ini.
“Perancangan bersifat inklusif yang menyentuh pelbagai golongan masyarakat itu bertepatan dengan tema Memperhebat Kesejahteraan Johor,” ujarnya.
Semalam, Hasni membentangkan Belanjawan Johor 2022 yang mencatatkan defisit kali kedua berturut-turut berjumlah RM286.47 juta ketika berucap sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini.
Unjuran hasil negeri pada tahun depan adalah sebanyak RM1.67 bilion manakala unjuran perbelanjaan berjumlah RM1.95 bilion.
Sementara itu, kerajaan negeri memperuntukkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.087 bilion sementara RM870 juta diperuntukkan untuk pembelanjaan pembangunan, yang bakal digunakan bagi melaksana empat impetus. -UTUSAN ONLINE