Peluang pelajar luar bandar kuasai teknologi - Utusan Malaysia

Peluang pelajar luar bandar kuasai teknologi

MOHAMAD Kelana Juwit (kanan) melihat pelaksanaan program latihan asas Microsoft Word di SMK Seri Bemban, Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Program Minggu Latihan Kebangsaan 2024 (NTW 2024) yang berlangsung sejak 14 Jun lalu memberikan impak besar kepada masyarakat luar bandar, khususnya memperluas akses pembelajaran teknologi dan kemahiran sepanjang hayat.

Program itu juga selari dengan pengisytiharan Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025, sekali gus menjadi antara inisiatif memperkasa pengetahuan dan kemahiran masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Pengarah Kolej Komuniti Jasin (KKJS), Sr. Mohamad Kelana Juwit berkata, inisiatif pelbagai agensi termasuk pihaknya dan HRD Corp. memberi peluang kepada masyarakat pedalaman mengikuti latihan secara percuma yang menumpukan peningkatan kemahiran berasaskan teknologi.

“Melalui NTW, kami dapat menghubungkan masyarakat dengan sumber pembelajaran serta tenaga pengajar yang berkualiti.

“Kerjasama strategik antara pihak industri, pendidik dan pemimpin komuniti juga berjaya mewujudkan satu ekosistem pembelajaran yang dinamik dan inklusif,” katanya ketika ditemui pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kursus Pendek NTW di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bemban di sini. 

Mohamad Kelana berkata, pelaksanaan program secara hibrid iaitu gabungan sesi bersemuka dan dalam talian memudahkan penyertaan masyarakat dan memperluas capaian latihan yang bersesuaian dengan bidang diceburi.

Di SMK Seri Bemban, program melibatkan kursus asas perisian Microsoft Word disertai pelajar tingkatan empat dengan bimbingan lima tenaga pengajar bermula 16 hingga 18 Jun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN