JOHOR BAHRU: Seorang pekerja pusat kecantikan di Taman Sutera di sini mendakwa mengalami tekanan dan berdepan trauma kerana diugut majikan selepas menyuarakan hasrat untuk berhenti kerja.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Koh, 43, itu mendakwa telah bekerja di pusat kecantikan tersebut sejak November 2022 tanpa berdepan sebarang masalah.
Namun, keadaan berubah apabila dia menghantar surat peletakan jawatan kepada pada 28 Mei lalu.
“Majikan menjadi marah dan bertanya punca saya mahu berhenti kerja, dia mendakwa saya telah mendapat kerja di pusat kecantikan lain ataupun mahu membuka perniagaan sendiri.
“Dia turut mengugut saya agar tidak bekerja di kawasan dalam radius lima kilometer atau dia akan gunakan peguam untuk menyaman saya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor di sini hari ini.
Koh mendakwa bukan sahaja diherdik, malah majikan juga enggan membayar wang komisen lebih RM3,000 yang berhak diterimanya.
“Saya buat keputusan mahu berhenti kerja kerana kepenatan dan berdepan masalah peribadi. Jadi, saya mahu ambil masa untuk berehat sementara daripada bekerja. Tetapi majikan mendakwa saya ada niat lain, dia juga melarang saya memberitahu pelanggan bahawa saya telah berhenti kerja di premis tersebut,” katanya sambil memberitahu telah membuat laporan di Balai Polis Nusa Bestari, semalam.
Ketua Biro Aduan Awam Sayap Bersekutu Bersatu Johor, Lim Thow Siang memberitahu, pihaknya akan menghubungi bekas majikan wanita tersebut untuk menyelesaikan perkara tersebut secara baik.
“Wanita ini tidak membuat sebarang kesalahan, dia telah menghantar surat peletakan jawatan dengan memberikan notis satu bulan, tidak sepatutnya dia diugut,” katanya. – UTUSAN









