Bekas Inspektor kekal dipenjara tiga tahun, denda RM125,000 - Utusan Malaysia

Bekas Inspektor kekal dipenjara tiga tahun, denda RM125,000

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas Inspektor polis kekal menjalani hukuman penjara tiga tahun dan denda RM125,000 selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan terhadapnya atas dua kesalahan rasuah melibatkan nilai suapan RM25,000.

Rasuah tersebut sebagai dorongan agar perayu, Mohd. Izwan Jamalud Din yang ketika itu bertugas sebagai Inspektor Penyiasat Narkotik G, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Hulu Terengganu, Terengganu, tidak menangkap seorang suspek kes dadah.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said memutuskan demikian secara sebulat selepas menolak rayuan akhirnya.

Beliau yang bersidang bersama Datuk M. Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah berpuas hati hukuman penjara tiga tahun bagi setiap tuduhan itu tidak terlalu tinggi berbanding hukuman penjara maksimum 20 tahun yang diperuntukkan bagi kesalahan tersebut.

Pada 25 Februari 2018, bagi kesalahan menerima rasuah RM5,000, Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM25,000 atau penjara setahun jika gagal membayar denda.

Mohd. Izwan, 38, turut dipenjara tiga tahun dan denda RM100,000 atau penjara dua tahun atas tuduhan kedua meminta suapan RM20,000.

Perayu gagal membayar kedua-dua denda berjumlah RM125,000 dan diperintah menjalani hukuman penjara tambahan berjumlah tiga tahun.

Panel itu bagaimanapun membenarkan sebahagian rayuannya dengan mengurangkan tempoh penjara setahun kepada enam bulan manakala tempoh penjara dua tahun dikurangkan kepada setahun.

Ini bermakna, Mohd. Izwan yang kini ditempatkan di Penjara Tapah, Perak hanya perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun serentak bagi kedua-dua tuduhan dan tambahan hukuman penjara selama setahun setengah.

Hakim Kamaludin ketika membacakan keputusannya berkata, isu nombor telefon perayu yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan telah diteliti oleh Mahkamah Sesyen dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi.

Panel itu berpuas hati bahawa kesalahan telah berjaya dibuktikan melalui keterangan saksi-saksi dan keterangan lain yang menyokong kes pendakwaan menjadikan sabitan itu selamat untuk dikekalkan.

Perayu disabitkan menerima rasuah daripada Syahrull Sharahudeen sebagai dorongan untuk tidak menangkap Syahrull yang disyaki terlibat kesalahan dadah mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Perayu didakwa melakukan kesalahan terbabit kira-kira pukul 6.25 petang 20 Ogos 2015 di belakang restoran KFC di Kuala Berang.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara rasuah meminta suapan bernilai RM20,000 daripada Syahrull sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Syahrull.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat di Kampung Durian Kassim, Ajil, Hulu Terengganu, kira-kira pukul 8 malam 15 Ogos 2015.

Perayu diwakili oleh peguam Datuk Amirul Ridzuan manakala Timbalan Pendakwa Raya Abdul Ghafar Abd. Latif mewakili pihak pendakwaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya