Bekas banduan dicekup curi tabung masjid - Utusan Malaysia

Bekas banduan dicekup curi tabung masjid

GANTI Jimmy (dua dari kiri) menunjukkan barangan dirampas lelaki yang pecah tabung masjid di Kampung Laklok, Machang dua minggu lalu. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Bagaikan tidak serik melakukan jenayah, seorang bekas banduan dicekup polis kerana terlibat dalam kes curi wang tabung masjid dan pecah rumah di Kampung Laklok di sini, baru-baru ini.

Suspek yang juga penagih dadah berusia 25 tahun ditahan di rumah seorang rakannya, di sini kira-kira pukul 6.20 pagi pada 25 Oktober lalu selepas dua minggu polis melakukan siasatan dan memburunya.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Ganti Jimmy berkata, terdahulu seorang jemaah Masjid Batu 30, Panyit di sini melihat tabung masjid berkenaan berselerak semasa datang untuk solat subuh pada 10 Oktober lalu.

Katanya, melihat keadaan itu, jemaah yang juga seorang guru meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid sebelum mendapati suspek masuk dan memecah tabung masjid berkenaan.

“Dalam serbuan 25 Oktober lalu, polis merampas pelbagai barangan seperti tabung masjid, pisau, mesin kayu, mesin rumput dan komputer riba dianggarkan bernilai RM8,000 yang disembunyikan dalam semak berhampiran rumah itu.

“Siasatan mendapati, suspek aktif pecah rumah dan curi tabung masjid sejak tiga bulan lalu selepas dia keluar dari penjara akibat pelbagai kesalahan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang di sini hari ini.

Menurut Ganti, berdasarkan soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam tiga kes mencuri tabung masjid selain empat kes pecah rumah sekitar Machang dan Kuala Krai.

Jelasnya, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine didapati mempunyai satu rekod jenayah berkait kes dadah dan 16 rekod pelbagai kesalahan jenayah lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 411 kanun sama akibat memiliki barangan curi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN