PETALING JAYA: Isteri kepada penyanyi Fareez Fauzi, Tyqa Wahab selamat melahirkan putera sulungnya, pada tanggal 26 Oktober lalu.
Menerusi entri Instagram, penyanyi lagu Sedar itu berkongsi khabar gembira tersebut selepas memuat naik satu gambar yang memaparkan bayi lelakinya itu sedang tidur.
Dalam pada itu, dia menzahirkan penghargaan buat semua pihak yang tidak lekang mendoakan dan membantu mempermudahkan urusan keluarga kecilnya.
“Alhamdulillah, pada 26 Oktober 2021, isteri saya telah selamat melahirkan putera sulung kami, Farrel.
“Terima kasih buat keluarga yang banyak membantu, rakan-rakan serta semua yang mendoakan baik-baik untuk keluarga saya,” kongsinya di Instagram.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, rata-rata pengikut dan rakan artis mengucapkan tahniah buat bapa muda itu selain mendoakan agar bayi mereka membesar dengan baik.
“Tahniah Fareez, ‘bapak-bapak’ dah sekarang,” komen penyanyi Ariff Bahran.
“Comelnya bayi, semoga membesar dengan sihat ya dan menjadi anak soleh,” tulis seorang pengikutnya.
“Alhamdulillah, tahniah Fareez dan isteri. Semoga menjadi anak soleh dan selamat berpantang buat isteri,” komen lagi seorang pengikutnya.
Sebagai informasi, pasangan dua sejoli itu telah menamatkan zaman bujang mereka pada tanggal 20 Disember tahun lalu.