BUENOS AIRES: Kongres Argentina telah meluluskan pindaan kontroversi yang mempermudahkan aktiviti perlombongan di kawasan glasier.
Namun, ia disifatkan oleh aktivis alam sekitar sebagai tindakan yang melemahkan perlindungan terhadap sumber air kritikal negara tersebut.
Undang-undang Glasier yang diperkenalkan pada 2010 sebelum ini melarang semua aktiviti perlombongan dan cari gali.
Ia turut menetapkan glasier sebagai simpanan air yang dilindungi.
Melalui reformasi baharu ini, tanggungjawab untuk menentukan kawasan glasier yang dilindungi telah dipindahkan daripada Institut Salji, Ais dan Sains Alam Sekitar Argentina (Ianigla) kepada kerajaan peringkat wilayah.
Presiden Javier Milei, yang menyokong penuh reformasi tersebut menyatakan bahawa perubahan itu bertujuan memberi kuasa kepada wilayah untuk memanfaatkan sumber mereka dan membenarkan aktiviti perlombongan dilakukan di kawasan yang tiada apa-apa untuk dilindungi.
Dewan Senat Argentina telah pun meluluskan rang undang-undang tersebut pada Februari lalu.
Ia menjadikan kelulusan oleh dewan rendah ini sebagai halangan besar terakhir yang perlu dilalui.
Pihak yang menentang reformasi itu berhujah bahawa undang-undang tersebut bakal meletakkan sumber asas iaitu air dalam risiko.
“Tanpa air, kita tidak boleh berfikir tentang projek pertumbuhan dan pembangunan,” kata Ahli Kongres Argentina, Natalia de la Sota.
Bagaimanapun, penyokong rang undang-undang tersebut, Ahli Kongres Nancy Picon Martínez berkata, industri perlombongan sering digambarkan seolah-olah ia adalah ‘raksasa’ tetapi undang-undang ini tetap melindungi glasier. – AGENSI










