Bajet Johor inklusif, bantu pulih ekonomi pasca Covid-19 - Utusan Malaysia

Bajet Johor inklusif, bantu pulih ekonomi pasca Covid-19

HASNI Mohammad (dua kiri) menyampaikan sijil hak milik tanah kepada peneroka pada Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda Tenggaroh 1 dan Tenggaroh 7 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di Mersing, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Belanjawan Johor 2022 yang akan dibentangkan pada Khamis ini bakal memberi tumpuan terhadap usaha memulihkan ekonomi pasca Covid-19 selain turut akan mengambil kira kepentingan pelbagai pihak.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri sedia maklum mengenai cabaran yang dihadapi rakyat ekoran ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik Covid-19 yang melanda sejak dua tahun lalu.

“Ancaman Covid-19 yang kini beransur pulih bukanlah bererti bahawa ekonomi kita turut pulih sepenuhnya, tentunya tidak. Maka, sesi libat urus ini bertujuan untuk berbincang bersama-sama kepimpinan daerah bagi menghasilkan bajet sempurna dan bersifat menyeluruh.

“Apa yang kita akan lakukan dalam usaha membantu rakyat adalah dengan memastikan pemulihan ekonomi, khususnya memperkasakan industri kecil dan sederhana (IKS) dengan memperbanyakkan pinjaman untuk mereka memulakan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda Tenggaroh 1 dan Tenggaroh 7 serta beberapa bantuan lain di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini.

Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2022) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan berlangsung mulai 18 November ini sehingga 28 November di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di Iskandar Puteri.

Belanjawan Johor 2021 yang dibentangkan Hasni pada 26 November tahun lalu mengalami defisit sebanyak RM248.14 juta selepas merekodkan belanjawan lebihan 10 tahun berturut-turut sebelum ini.

Sementara itu, Hasni berkata, kerajaan negeri juga akan memastikan rakyat yang kehilangan pekerjaan diberi peluang dengan menyediakan pelbagai kemahiran upskilling dan reskilling’ supaya mereka boleh bekerja, sekaligus menjana semula ekonomi.

Dalam pada itu, penantian lebih 30 tahun 175 peneroka di Felda Tenggaroh 1 dan 7 berakhir setelah mereka menerima geran hak milik tanah masing-masing sekaligus memberi keceriaan kepada wajah penerima.

Seorang penerima, Turijan Marjani menganggap hari penerimaan itu sebagai amat istimewa buat dia sekeluarga walaupun urusan tersebut tertangguh seketika ekoran pandemik Covid-19.

“Saya bersyukur kerana akhirnya semua telah selesai, kami menerima geran tanah masing-masing yang lebih istimewa disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Johor yang hadir ke daerah ini,” katanya.

Ketua Blok Felda Tenggaroh 7, Md. Hanifah Md. Ali berkata, penerimaan geran itu menjadi salah satu pembakar semangat untuk mereka terus mengusahakan dan berbakti kepada tanah dengan menanam kelapa sawit.

Perasaan sama dikongsikan Ketua Peneroka Felda Tenggaroh 1, Saimin Tarikat yang tinggal di penempatan itu sejak 34 tahun lalu yang menganggap kurniaan itu amat besar ertinya kepada mereka keluarga. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN