JOHOR BAHRU: Polis Johor mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berhubung seorang bekas pekerja kilang elektronik yang kononnya dipukul polis, Jun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menyangkal perkara itu berlaku ketika disoal siasat berhubung perkongsian maklumat mengenai keadaan di kilang tersebut.
Beliau berkata, perkara itu merujuk kepada laporan eksklusif sebuah agensi berita antarabangsa, Reuters mengenai Dyson menamatkan hubungan dengan pengeluar, ATA IMS Bhd. susulan laporan audit diterima pihaknya.
“Sehingga hari ini, tiada sebarang laporan polis diterima berkenaan dengan seorang bekas pekerja ATA IMS yang didakwa dipukul di balai polis pada Jun lalu.
“Ia ketika disoal siasat tentang perkongsian maklumat mengenai keadaan di kilang terbabit seperti di laman sesawang itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengikut laporan Reuters, syarikat itu dipercayai menyalahgunakan tenaga buruhnya yang terpaksa bekerja lebihan masa termasuk pada hari cuti hingga ada yang bekerja sehingga 126 jam sebulan.
Bekas pekerja syarikat itu, Dhan Kumar Limbu memberitahu Reuters bahawa pegawai syarikat itu membawanya ke balai polis pada Jun lalu untuk disoal siasat tentang perkongsian maklumat mengenai keadaan di kilang itu selain dipukul polis ketika soal siasat dijalankan.
Menurut agensi berita antarabangsa itu lagi, pihaknya gagal mendapatkan maklum balas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan itu.
Ayob Khan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai isu yang dilaporkan dan akan menjalankan siasatan sekiranya wujud seperti apa yang dilaporkan. – UTUSAN










