Anwar dan empat lagi gagal cabar nasihat darurat - Utusan Malaysia

Anwar dan empat lagi gagal cabar nasihat darurat

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini menolak rayuan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan empat lagi yang memohon kebenaran untuk mencabar nasihat yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menangguhkan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri semasa darurat.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara memutuskan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan atau prosiding atas apa-apa perkara berkaitan deklarasi darurat.

“Mahkamah ini bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar atau memutuskan apa-apa perkara berkaitan deklarasi darurat. Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan jelas menunjukkan proklamasi oleh Seri Paduka adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atas apa juga alasan atau bentuk,” katanya.

Tambah Hakim Has Zanah, walaupun kebenaran untuk semakan kehakiman diberikan, ia merupakan satu tindakan yang sia-sia kerana mahkamah dihalang daripada mempertikaikan proklamasi darurat tersebut.

“Kami berpandangan Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kekhilafan. Permohonan oleh semua perayu bukanlah sesuatu yang boleh dipinda melalui semakan kehakiman. Oleh itu rayuan ditolak tanpa sebarang perintah mengenai kos,” katanya dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Turut hadir pada prosiding dalam talian itu ialah Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan dan S. Narkunavathy dan Peguam Persekutuan, Mohamad Sallehuddin Md. Ali mewakili Muhyiddin dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden.

Selain Anwar, turut merayu atas isu yang sama ialah Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Amanah), Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul (PKR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari (DAP) serta Hassan Abdul Karim (Ahli Parlimen Pasir Gudang).

Kesemua individu itu merayu atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Johor Bahru yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman bagi mencabar nasihat Muhyiddin kepada Seri Paduka.

Pada prosiding hari ini, mereka diwakili peguam-peguam, Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar, Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur.

Pada 11 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menolak permohonan untuk memulakan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Salahuddin, Johari dan Abdul Aziz atas alasan proklamasi serta ordinan yang digubal di bawah undang-undang darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Bagi Hassan pula, permohonannya untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman ditolak Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 26 April lalu.

Istana Negara dalam satu kenyataan bertarikh 12 Januari lalu mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung Covid-19 di Malaysia.

Muhyiddin, dalam perutusan khas sempena proklamasi darurat pada hari yang sama, menjelaskan Kabinet telah menasihatkan Seri Paduka untuk mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara selaras dengan Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa dari 11 Januari hingga 1 Ogos 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya