fbpx

Anak bekas penagih terima Anugerah Emas Kedoktoran UKM

SYAR Mezee Mohd. Rashid menunjukkan skrol dan Anugerah Emas Kedoktoran diterimanya selepas Sidang Canselor Majlis Konvokesyen UKM Ke-49 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM, Bangi, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Cabaran dan dugaan semasa membesar sebagai anak bekas penagih dadah tidak mematahkan semangat Dr. Syar Meeze Mohd. Rashid, 32, me­lanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi dan menamatkan pe­ngajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

Malah, beliau adalah antara penerima Anugerah Emas Kedoktoran pada Majlis Konvokesyen Ke-49 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berlangsung bermula semalam.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, kejayaan dicapai berbekalkan doa dan restu ibu serta neneknya yang sentiasa menjadi penguat semangat dalam memberi dorongan kepadanya meskipun dalam kea­daan kedaifan ketika kecil.

Pensyarah (Pendidikan Khas) Fakulti Pendidikan UKM itu berkata, membesar sebagai anak bekas penagih dadah bukan mudah apabila terpaksa berdepan dengan tohmahan masyarakat yang memberi kesan kepada seluruh ahli keluarga.

‘Walaupun ayah sudah lama tinggalkan perbuatan itu sejak saya tingkatan tiga dan kini bergiat aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) de­ngan berkongsi pengalamannya, tohmahan masyarakat semasa saya kecil itu tetap ada.

“Alhamdulilah, syu­kur kepada Allah SWT kerana dipilih mendapat Anugerah Emas Kedoktoran. Saya mampu membuktikan kepada masyarakat bahawa sebagai seorang anak bekas penagih pun mampu berjaya.

“Selama ini masyarakat memandang seorang dan persepsi mereka adalah anak bekas penagih akan ikut jejak keluarga itu. Sebenarnya tidak kerana bergantung kepada diri sendiri,” katanya ketika ditemui semalam Sidang Canselor Majlis Konvokesyen Ke-49 UKM di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), UKM, semalam.

Menurutnya, pada mula­nya mereka kurang mene­rima kehadiran bapa dengan kehidupan yang boleh diibaratkan seperti kais pagi, makan pagi hasil ibunya yang be­kerja operator kilang.

Disebabkan pengalaman melihat usaha bapanya dalam mengerakkan NGO dan berkhid­mat dengan masyarakat, dia mendapat dorongan inspirasi untuk mengusaha dan membangunkan sebuah Yayasan Pendidikan al-Quran bagi anak istimewa (FAQEH).

“Apabila seseorang itu diberi peluang belajar ke pe­ringkat ter­tinggi, maka itu melatih diri dekat kepada Allah SWT, menjadikan kita lebih bersifat menghargai satu ilmu dan mendidik kita lebih menjadi seorang manusia bersifat ihsan dan sentiasa mengamalkan kehidupan lebih baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI