AirAsia dapat kelulusan penerbangan tambahan ke Sabah, Sarawak

AirAsia dapat kelulusan penerbangan tambahan ke Sabah, Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Syarikat penerbangan AirAsia menerima kelulusan 42 penerbangan mingguan dari Semenanjung dan Sabah ke Sarawak bagi tempoh terhad iaitu dari 11 Disember ini sehingga 5 Januari 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, tambahan penerbangan itu diluluskan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) hari ini.

Beliau berkata, tambahan penerbangan itu secara langsung menurunkan harga tiket Kuala Lumpur-Kuching dari sekitar RM1,000 sebelumnya kepada kurang RM200 sehala dan ia sudah pun hampir habis terjual sebaik jualan dibuka.

“AirAsia sentiasa berbincang dengan MOTS dan telah beberapa kali menyerahkan permohonan untuk penambahan kekal kekerapan penerbangan berjadual dari Semenanjung dan Sabah ke Sarawak sejak awal tahun ini. Permohonan terakhir dikemukakan pada minggu lalu yang meliputi permohonan untuk penerbangan tambahan bagi musim cuti Krismas dan Tahun Baru Cina,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, pihaknya turut merayu supaya kelulusan tambahan turut diberikan untuk Tahun Baharu Cina dan seterusnya menghapuskan sepenuhnya sekatan atas kekerapan bagi penerbangan yang telah diluluskan.

Riad berkata, kelulusan itu akan membolehkan pihaknya menguruskan kos dengan lebih baik, cekap dan seterusnya menurunkan tambang untuk manfaat semua penumpang.

Menurutnya, AirAsia mengendalikan lebih 300 penerbangan mingguan ke Sarawak bagi tempoh sebelum pandemik, menghubungkan Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu dengan Kuala Lumpur, Penang, Johor Bahru, Kota Kinabalu serta pelbagai destinasi di Malaysia. 

Sebagai penerbangan kos rendah, pihaknya memerlukan jumlah inventori yang tinggi untuk menawarkan harga tiket yang rendah kepada penumpang.

“Operasi kami adalah berlandaskan kecekapan ekonomi iaitu mendapatkan jumlah penumpang yang tinggi dan seterusnya membahagikan penjimatan kos kepada mereka. Harga purata untuk tambang penerbangan AirAsia antara Sarawak dan Semenanjung sebelum ini hanya sekitar RM160 sehala setiap penumpang,” katanya.

Katanya, harga purata ini mengambil kira harga tertinggi dan terendah termasuk semasa kami menawarkan jualan promosi tambang percuma. 

Jelasnya lagi, harga tiket akan meningkat semakin hampir ke tarikh penerbangan dan juga semasa musim cuti, apabila hampir semua penerbangan kami hampir penuh sehingga 90 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya