PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan yang meninggal dunia semalam.
Menurut Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga beliau sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
“Seri Paduka berdua menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham terutama kepada negeri Melaka,” jelas Istana Negara dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Abdul Ghafar yang berusia 65 tahun dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 petang semalam akibat Covid-19 selepas menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) sejak dua minggu lalu.
Jenazah bekas Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Melaka itu selamat dikebumikan lewat petang semalam di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Asahan, Melaka. – UTUSAN ONLINE










