IPOH: Majlis Pimpinan PKR Perak menyifatkan gesaan seorang wakil rakyat DAP agar Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan Ketua Pembangkang susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebagai berfikiran sempit dan dangkal.
Majlis Pimpinan PKR Perak dalam satu kenyataan hari ini, menyifatkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen itu sebagai berniat menggoncang keharmonian yang tersemai utuh dalam PH.
“Atas kapasiti Majlis Pimpinan Negeri, kami ingin menganjurkan supaya pihak kepemimpinan tertinggi DAP menasihati dan mendesak ADUN Bilut supaya lebih matang, lebih mementingkan pembinaan kekuatan, perpaduan dan keharmonian PH daripada mengeluarkan kenyataan yang tidak berstrategi dan beremosi kebudak-budakan,” ujar kenyataan itu.
Majlis Pimpinan yang diketuai Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak itu turut meminta semua pihak dalam PH menumpukan segala masa, tenaga dan daya intelektual dalam mengharungi dan mendepani cabaran dan badai pasca PRN Melaka serta bukan menuding jari kepada sesiapa dalam kekalahan tersebut.
“Tanggungjawab organisasi dan membuat keputusan adalah tanggungjawab bersama. Rapatkan saf dan terus istiqamah dalam perjuangan, insyaAllah,” jelasnya.
Dalam PRN Melaka kelmarin, PH hanya memenangi lima kerusi berbanding 15 kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum 2018. – UTUSAN











