Abdul Latif, anak dan perunding hartanah diperintah bela diri - Utusan Malaysia

Abdul Latif, anak dan perunding hartanah diperintah bela diri

ABDUL Latif Bandi (kanan) berbincang dengan peguamnya setelah diperintah bela diri di Mahkamah Tinggi Johor Bahru di Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latif Bandi untuk membela diri bersabit 37 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Selain Abdul Latif, anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Raub turut diarah untuk membela diri atas pertuduhan sama.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan tersebut selepas selesai prosiding hari ini sekali gus mengetepikan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 21 April 2019 yang membebas dan melepaskan ketiga-tiga tertuduh.

Timbalan Pengarah I Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, Mahkamah Tinggi memutuskan keputusan terdahulu oleh Mahkamah Sesyen adalah salah.

“Mahkamah Sesyen telah tidak mempertimbangkan banyak isu-isu penting dalam kes tersebut dan Hakim juga telah menetapkan jaminan berjumlah RM1.1 juta untuk ketiga-tiga tertuduh dengan cagaran tanah,” katanya.

Sementara itu, peguam tertuduh, Datuk Salehuddin Saidin memberitahu, keputusan Mahkamah Tinggi itu bukan pengakhiran buat anak guamnya dan akan terus mewakili anak guam bagi membuktikan mereka tidak bersalah atas segala pertuduhan dikenakan yang ketika ini belum dibuktikan bersalah.

“Apa yang perlu saya tekankan anak guam kami telah menghormati proses undang-undang dan mereka akan hadir ke mahkamah walaupun jumlah jaminan telah dikurangkan kepada RM1.1 juta,” jelasnya.

Dalam pada itu, Salehuddin turut memberitahu, anak guamnya akan membayar wang jaminan tersebut menggunakan cagaran tanah.

Pada 21 April 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru melepas dan membebaskan Abdul Latif daripada 37 pertuduhan rasuah serta kes Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) melibatkan jumlah lebih RM30 juta.

Selain itu, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin turut dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan dikenakan selepas ketiga-tiga mereka pada 14 Jun 2017 dihadapkan dengan pertuduhan melibatkan aktiviti pengubahan wang haram.

Sebelum itu, mereka masing-masing turut menghadapi 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta mengikut Seksyen 28 (1)(C) Akta SPRM 2009.

Selain Wan Shaharuddin, barisan pendakwaan turut disertai Ahmad Akram Gharib; Mahadi Abdul Jumaat; Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zander Lim Wai Keong, manakala tertuduh dibarisi peguam, Hasnal Redzua Merican bersama Salehuddin.

Sementara itu, mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 14 November ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.