KOTA KINABALU: Kira-kira 90 peratus wakil rakyat yang melompat parti tersungkur pada pilihan raya berikutnya.
Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, walaupun ada antara wakil rakyat yang melompat parti mampu bertahan sehingga sekarang namun, boleh dikatakan 90 peratus kerjaya politik mereka terkubur selepas keluar parti.
Ia berikutan rakyat Sabah sudah semakin matang menilai pemimpin politik setelah sekian lama rakyat dimomokkan dengan budaya lompat parti yang memperlihatkan ahli politik tidak berintegriti.
Katanya, tindakan Ahli Parlimen Lahad Datu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi yang keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) baru-baru ini antara budaya lompat parti yang seharusnya membuka mata kepimpinan parti untuk memilih seorang pemimpin yang betul-betul setia.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Khidmat Komuniti) berkata, tindakan Mohamaddin itu menyebabkan Warisan kehilangan dua kerusi iaitu satu kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ini pastinya akan menyebabkan kedudukan Warisan di Lahad Datu semakin goyah. Untuk itu, apabila memilih calon, presiden-presiden parti perlu memastikan individu itu benar-benar orang yang setia kepada perjuangan parti.
Dalam kes Ahli Parlimen Lahad Datu ini, beliau (Mohamaddin) seorang yang tidak disukai oleh pelbagai lapisan masyarakat kerana kenyataan-kenyataannya tentang kes pencerobohan di Lahad Datu sebelum ini yang dilihat mengguris hati rakyat.
“Justeru, jika ada mana-mana parti menerima beliau (Mohamaddin), ia hanya mengundang kerosakan kepada parti tersebut. Orang akan mengatakan, parti itu memungut ahli politik yang tiada kualiti malah, ucapannya juga tidak intelektual dan apa yang paling penting, dia cakap tidak serupa bikin,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Maka, Romzi menasihatkan presiden-presiden parti supaya bertindak lebih bijak dengan menguji kesetiaan ahli-ahli parti sebelum mencalonkan mereka. Tiada guna meletakkan calon yang padda akhirnya akan merugikan parti dan mensia-siakan undi rakyat.
Sehingga kini, tiga wakil rakyat Warisan keluar meninggalkan parti bagi menjadi ADUN Bebas sebelum ada yang menyertai parti lain. Tiga wakil rakyat itu termasuk Mohamaddin Ketapi, ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir dan ADUN Sindumin Datuk Dr. Yusof Yacob.- UTUSAN ONLINE









