80 % calon muda BN diyakini bawa perubahan besar - Utusan Malaysia

80 % calon muda BN diyakini bawa perubahan besar

BASTIEN Onn (dua kanan) bersama petugas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Gajah di dalam DUN Sg. Rambai ketika program pengedaran akhbar Utusan Malaysia di Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua calon baharu yang diketengahkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini dipercayai membawa perubahan besar kepada pentadbiran negeri itu.

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn berkata, ia meliputi 80 peratus calon muka baharu dan muda yang mempunyai pelbagai kebolehan sekali gus mampu menawan pengundi dalam kalangan orang muda. 

Menurut beliau, tumpuan utama calon kali ini ialah Fairul Nizam Roslan yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Negeri bakal berdepan dengan Datuk Seri Idris Haron bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan. 

“Kemenangan beliau merupakan simbolik kepada kejayaan Pemuda untuk menunjukkan penolakan kita kepada tindakan Idris yang menjadi punca diadakan PRN Melaka ini.

“BN sudah pun mendekati pengundi dengan pelbagai kaedah-kaedah dan kami percaya bahawa calon-calon baharu akan membawa perubahan besar kepada pentadbiran Negeri Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Bastien mendekati para pengundi DUN Sg. Rambai ketika program pengedaran akhbar Utusan Malaysia dan pamplet bagi 600 rumah di tiga buah kampung bersama Pemuda UMNO Kluang. 

Dalam pada itu, beliau berkata, pengundi Melaka akan menjalankan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan negeri dalam keadaan yang belum pernah terjadi dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini.

Kata beliau, tempoh 12 hari berkempen yang dibenarkan menjadi cabaran kepada parti politik yang bertanding untuk memastikan tahap disiplin pemimpin dan jentera mereka mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Kita lihat pelbagai cara digunakan BN tetapi keberkesanannya akan diukur esok. Pematuhan kepada cara pilihan raya yang ketat serta SOP sepanjang tempoh berkempen akan teruji.

“Ini akan menjadi kayu ukur kepada keupayaan negara untuk mengadakan PRU di masa akan datang. Rakyat di negeri lain sedang memerhati kesan daripada PRN ini dan akan membandingkannya dengan apa yang berlaku semasa PRN Sabah,” katanya.

Bastien pada masa sama berkata, pengundi di Melaka tiada pilihan lain untuk memberikan undi bagi memilih pentadbir kerajaan terbaik untuk membantu mereka khususnya dalam mendepani kehidupan pasca Covid-19.

Beliau berkata, banyak cabaran yang akan mereka tempuhi selepas ini dan mengangkat kerajaan yang betul untuk bersama mereka menjadi keutamaan.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya