595 keluar Bersatu cubaan alih isu ‘Abang Long’ - Utusan Malaysia

595 keluar Bersatu cubaan alih isu ‘Abang Long’

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tindakan 595 ahli keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan sebagai usaha terdesak UMNO untuk mengalih perhatian pengundi Melaka susulan isu ‘Abang Long’ seperti didedahkan semalam.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, hal ini kerana Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mendedahkan bahawa rundingan perpaduan ummah digagalkan kerana sikap ‘abang long samseng dan tamak haloba’ ditunjukkan UMNO.

“Perkara itu sebagai usaha terdesak UMNO mengalih perhatian pengundi daripada isu lebih besar yang didedahkan kelmarin.

“UMNO perlu menjawab kepada pengundi Melaka dan rakyat Malaysia kenapa mereka bersikap Abang Long samseng tamak haloba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sebanyak 595 ahli Bersatu negeri ini mengumumkan keluar parti kerana kecewa dengan kepemimpinan Bersatu.

Malah, terdapat dalam kalangan mereka menyertai UMNO dan menyokong calon Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Wan Saiful menyifatkan tindakan ahli-ahli Bersatu itu adalah isu terpencil yang dibuat bagi tujuan pilihan raya.

Katanya, jentera Bersatu kini komited dengan perjuangan prihatin rakyat, politik khidmat, integriti dan anti-rasuah terus kekal bekerja keras tanpa mengenal penat lelah.

Tambah beliau, rakyat Melaka cukup bijak menilai sama ada mereka itu hanya mahu kuasa dan harta sehingga kebajikan dan kesihatan rakyat mereka tolak tepi.

“Jangan guna strategi ubah topik untuk larikan perhatian rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya