KUANTAN: Empat individu di negeri ini dikurniakan gelaran Datuk Kurnia oleh Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkuatkuasa 27 Oktober lalu.
Gelaran itu membabitkan Datuk Kurnia Ekram, Datuk Kurnia Wira, Datuk Kurnia Bistari dan Datuk Kurnia Arjuna.
Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab. Rahman berkata, gelaran Datuk Kurnia Ekram diterima Datuk Seri Vinod Kumar Agawal.
“Turut diperkenankan pengurniaan gelaran Datuk Kurnia Wira kepada Leftenan Kolonel Datuk Dr. Ir. Thong Kok Sing; Datuk Kurnia Bistari kepada Datuk Mohamed Ariffin Awang Ismail dan Datuk Kurnia Arjuna kepada Datuk Akbar V V Abu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Khirrizal turut memaklumkan pengisytiharan pengurniaan gelaran itu selaras Perkara 28 (bahagian pertama) Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang yang memperuntukkan bahawa Raja Pemerintah punca bagi segala pangkat-pangkat kebesaran dan kemuliaan dalam Pahang.
Sebagai Sultan Pahang, hanya baginda sahaja yang berhak mengurniakan gelaran dan pangkat kemuliaan dan mengadakan pangkat kebesaran atau kurniaan. -UTUSAN ONLINE










