337,765 orang bekerja sendiri carum Perkeso, nilai kutipan RM77 juta - Utusan Malaysia

337,765 orang bekerja sendiri carum Perkeso, nilai kutipan RM77 juta

AWANG Hashim (kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang pesawah pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin MADA di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA D-III, Titi Haji Idris, Pendang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Seramai 337,765 orang bekerja sendiri (OBS) di seluruh negara telah menjadi pencarum aktif dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan kutipan berjumlah RM77 juta sehingga Rabu lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, jumlah kutipan itu diperoleh sejak kerajaan memperkenalkan program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) pada 1 Jun 2017.

Katanya, seramai 1,752 OBS yang terdiri daripada pelbagai golongan antaranya petani, artis, penjaja selain mereka yang terlibat dalam bidang perkhidmatan dan pelancongan juga telah menerima bayaran faedah berjumlah RM5.1 juta.

“Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Perkeso juga turut melaksanakan Program Geran Penuh atau Geran Padanan SKSPS  pada tahun lalu bagi meluaskan liputan perlindungan sosial untuk memberi manfaat kepada lebih 810,000 orang bekerja sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA D-III, Titi Haji Idris di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman.

Mengulas lanjut, Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata, menerusi Program Geran padanan SKSPS, pencarum hanya perlu membayar sebanyak 30 peratus daripada RM232.80 bayaran setahun, manakala baki 70 peratus akan dibiayai kerajaan.

Katanya, bagi meneruskan perlindungan terhadap golongan itu yang akan tamat pada 31 Disember depan, kerajaan bercadang meningkatkan geran padanan kepada 80 peratus pada tahun depan, yang mana pencarum hanya perlu membayar 20 peratus.

“Sebab itu saya mahu galakkan petani atau pesawah sertai SKSPS, ambil kesempatan ini, jika berlaku kemalangan ketika dalam perjalanan ke sawah atau sedang bekerja, Perkeso akan bayar faedah.

“Sekiranya ditakdirkan kita meninggal dunia, duit perlindungan pengurusan jenazah akan diberi serta-merta sebanyak RM2,000 seterusnya pencen penakat akan diberikan kepada isteri sepanjang hayatnya serta kepada anak-anak sehingga umur 18 tahun atau tamat pengajian di universiti,” ujarnya.

Menurutnya, setakat kini seramai 1,450 petani di Kedah sudah mencarum dengan Perkeso dan terdapat kira-kira 50,000 petani di kawasan MADA yang belum mencarum.

Tambahnya, Perkeso dengan kerjasama MADA akan mempergiatkan kempen kepada pesawah supaya mencarum di bawah SKSPS.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN