2,330 kes penipuan dalam talian dilapor di Negeri Sembilan tahun ini

2,330 kes penipuan dalam talian dilapor di Negeri Sembilan tahun ini

MOHAMAD MAT YUSOP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 2,330 kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian berjumlah RM20.89 juta dilaporkan di Negeri Sembilan sepanjang tahun ini yang menyumbang sebanyak 86 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jenayah komersial.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, kes tersebut dilaporkan sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini iaitu meningkat berbanding 1,333 kes dengan kerugian RM18.83 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

“Peningkatan kes pada tahun ini adalah sebanyak 44.3 peratus atau 590 kes dengan tambahan kerugian lebih RM2 juta.

“Daripada kes itu, seramai 830 individu yang dipercayai terlibat sebagai ‘keldai akaun’ iaitu memberi maklumat akaun mereka untuk digunakan sindiket telah ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohamad, seramai 285 individu telah dituduh di mahkamah manakala baki yang lain dalam tindakan pihak polis untuk pertuduhan dalam masa terdekat.

“Ingin ditegaskan bahawa pemilik-pemilik akaun yang telah ditangkap serta dituduh akan menyebabkan butiran mereka dimasukkan dalam rekod jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ini sekali gus boleh menjejaskan sebarang urusan seharian mereka atau sukar mendapatkan peluang pekerjaan di kemudian hari,” katanya.

Menurut Mohamad, sempena pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani semalam, pihak polis Negeri Sembilan juga turut serta memperhebatkan program pencegahan kes penipuan tersebut.

Beliau berkata, ini bagi memberi pendedahan kepada masyarakat awam supaya tidak terjebak dan menjadi mangsa kegiatan sindiket penipuan.

“Pendekatan diambil adalah dengan meuarkan kepada orang ramai mengenai trend jenayah dibuat oleh sindiket pada masa ini terutama melibatkan tujuh jenis kes penipuan.  

“Ini termasuk pembelian dalam talian (e-dagang), Macau Scam, Love Scam, pinjaman tidak wujud, tipu tawaran pekerjaan, tipu pelaburan dan tipu penyamaran sebagai kenalan terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN