2,000 rumah untuk warga tentera hasil inisiatif RKMAT

2,000 rumah untuk warga tentera hasil inisiatif RKMAT

ZAMROSE MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,000 unit rumah berjaya disediakan untuk warga Tentera Darat Malaysia tahun ini, hasil inisiatif Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT).

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, inisiatif itu adalah antara usaha bagi menyelesaikan masalah kekurangan kuarters dalam kalangan anggota tentera darat sehingga terpaksa menyewa di sekitar Lembah Klang.

Katanya, inisiatif itu adalah hasil kerjasama erat pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan serta pihak pemaju iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) selari dengan visi dan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu Keluarga Malaysia.

“Kalau nak bina rumah, perlu masa bertahun-tahun, tetapi kita dapat tahu LTAT ada lebih kurang 4,000 rumah yang tidak terjual di Bukit Jalil, jadi kita terima dengan syarat bilik mesti ada tiga, anggota tentera pun setuju, mereka ditawarkan rumah bersama perabot.

“Itulah terhasilnya 2,000 unit rumah tak sampai tempoh enam bulan. Alhamdulillah, kita jangka anggota tentera dapat masuk secepat mungkin, sekurang-kurangnya akhir Disember 2021,” katanya.

Katanya, kemasukan rumah diadakan secara berkelompok bagi fasa pertama melibatkan seramai 500 anggota, dengan 52 penghuni telah melaksanakan proses perpindahan awal pada 18 November 2021, manakala bakinya akan dilaksanakan pada 28 November hingga 10 Disember 2021.

Tambahnya, 2,000 unit rumah itu juga dilengkapi dengan perabot asas seperti kerusi, meja makan, katil, tilam, peti sejuk, dapur dan langsir.

“Boleh dikatakan sebanyak 75 peratus peralatan rumah disediakan, jadi kalau masuk rumah dah boleh duduk.

“Selain itu, kawasan itu juga ada taman permainan, gimnasium, surau, pusat komuniti, taska, dewan serbaguna, kedai runcit, jadi asas sebuah kompleks perumahan itu mencukupi, alhamdulillah,” katanya.

Kementerian Pertahanan melalui Blueprint Perumahan 2.0 sedang melaksanakan perancangan untuk membina 28,033 unit RKMAT di seluruh negara dari tahun 2021 sehingga tahun 2030, termasuk 8,852 unit RKMAT seperti diumumkan oleh Perdana Menteri menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Pada masa sama, Zamrose juga mendedahkan lebih banyak projek perumahan akan dibina serta beberapa lagi rancangan projek untuk menaik taraf, menyelenggara rumah merangkumi 14 Projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) untuk tentera darat dan akan memanfaatkan 3,994 pegawai dan anggota tentera.

“Tiap-tiap tahun ada projek untuk bina RKMAT, tapi buat masa ini semua projek sedia ada adalah projek pembinaan contohnya di Kelantan, Kedah, Sabah, Sarawak, tapi makan masa panjang, paling awal akan siap adalah 2024.

“Namun yang kita bimbang, akan ada projek sakit, bahan binaan tidak cukup, jadi akan ambil lebih banyak masa,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya mahu mengubah pendekatan dengan mengambil alih perumahan yang tidak terjual dengan menempatkan anggota tentera.

“Konsep ini lebih selamat, tidak ada risiko untuk menanggung projek-projek sakit, kita beli rumah siap, terus boleh masuk.

“Tiap-tiap tahun ada pembinaan baru, tapi sekarang kita nak ubah pendekatan, kita nak beli rumah sedia ada, supaya tak perlu buat rumah lagi. Harapnya dalam tempoh dua tahun, kita cuba dapat kurangkan masalah kekurangan perumahan kepada 50 peratus.

“Sebab tahun depan pun tidak ada peruntukan, tapi saya akan merayu kepada kementerian dengan Perdana Menteri, sebab saya tahu Perdana Menteri dan Kementerian Pertahanan konsepnya keluarga Malaysia, RKMAT ini dekat di hati mereka, insya-Allah dengan aspirasi yang kuat, mereka akan luluskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya