PETALING JAYA: Pasport Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki tempat kedua dunia dalam The Passport Index Global Ranking 2026 sekaligus meningkat satu anak tangga berbanding kedudukan ketiga pada tahun lalu.
Jabatan Imigresen memaklumkan pemegang pasport Malaysia kini mempunyai akses ke sebanyak 175 destinasi di seluruh dunia.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 129 destinasi menawarkan kemasukan tanpa visa manakala 46 destinasi menyediakan kemudahan visa semasa ketibaan.
“Sebanyak 23 destinasi masih memerlukan pemegang pasport Malaysia mendapatkan visa sebelum melakukan perjalanan.
Peningkatan kedudukan itu mencerminkan tahap penerimaan dan mobiliti antarabangsa yang dinikmati pemegang pasport Malaysia sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam aspek kebebasan perjalanan global,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Jelasnya, pencapaian berkenaan turut menunjukkan perkembangan positif dalam hubungan dan kerjasama Malaysia dengan negara-negara lain, khususnya dari segi kemudahan perjalanan antarabangsa.
“Kedudukan tersebut menjadikan pasport Malaysia antara dokumen perjalanan yang menawarkan akses luas kepada destinasi antarabangsa pada tahun ini,” jelasnya.-UTUSAN











