SEREMBAN: Seramai 152 orang pelajar asrama Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani di Sikamat di sini yang mengalami gejala keracunan makanan sejak kelmarin kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Md. Fiah Md. Jamin berkata, tindakan sewajarnya telah diambil dengan menutup dapur asrama sekolah tersebut atas arahan Kementerian Kesihatan.

“Setakat ini, tiada laporan kes serius, semua pelajar berada dalam keadaan stabil melalui pengawasan yang dilakukan oleh pegawai Jabatan Pendidikan negeri sehingga tengah malam tadi.
“Buat sementara waktu, pihak sekolah menggunakan perkhidmatan penyedia makanan daripada luar untuk pelajar,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau hadir pada program menyampaikan faedah pencen penakat kepada empat keluarga orang berinsurans yang meninggal dunia akibat Covid-19 di pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini hari ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seremban mendapati 152 orang pelajar yang mengalami gejala keracunan makanan daripada 597 orang yang terdedah iaitu dengan kadar serangan 25.5 peratus.
Daripada jumlah berkenaan, kesemua pelajar mengalami gejala utama iaitu sakit perut 152 orang pelajar, loya (148), sakit kepala (134), muntah (119) orang, cirit-birit (94), demam (32) orang dan kekejangan abdomen (30).
Kesemua kes dirawat sebagai pesakit luar dan berada dalam keadaan stabil.-UTUSAN ONLINE










