14 geng kongsi gelap mabuk bergaduh ditahan - Utusan Malaysia

14 geng kongsi gelap mabuk bergaduh ditahan

AYOB Khan Mydin Pitchay menunjukkan gambar anggota pertubuhan kongsi gelap yang ditahan menerusi Op Cahaya dalam sidang akhbar di IPK Johor, di Johor Bahru. - UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis menahan 14 individu yang merupakan ahli kongsi gelap dalam dua insiden pergaduhan berasingan masing-masing di Kulai dan Seri Alam, di sini tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek lelaki tempatan yang berusia antara 21 hingga 40 tahun itu ditahan hasil maklumat dan risikan awam.

Menurut beliau, pergaduhan tersebut dipercayai berpunca akibat pertengkaran sesama mereka ketika berada di bawah pengaruh alkohol.

“Kesemua suspek ditahan terdiri daripada lima individu dari Kumpulan 36; empat ahli Kumpulan 21 dan lima lagi daripada Kumpulan 04.

“Mereka kini ditahan reman sehingga 17 November bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, polis turut menahan 16 ahli kongsi gelap menerusi Op Cahaya yang dijalankan di seluruh negeri sejak 28 Oktober hingga 10 November lalu.

Katanya, mereka antara 234 individu yang ditahan menerusi 1,348 serbuan yang dijalankan di premis pusat hiburan, pusat urut dan lain-lain tempat.

Katanya, operasi berkenaan dilancarkan bertujuan untuk mengawasi dan memantau keadaan sepanjang musim perayaan lalu agar tiada gangguan dan ancaman berlaku.

“16 ahli kongsi gelap yang berusia antara 17 hingga 50 tahun itu dikenalpasti berdasarkan tatu dan lambang geng yang terdapat pada tubuh badan mereka. Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 43 dan direman antara dua hingga empat hari daripada tarikh tangkapan,” katanya.

Dalam pada itu, Ayob Khan memberitahu, sejak Januari lalu hingga semalam, seramai 70 anggota kongsi gelap terdiri daripada tujuh geng berlainan telah ditahan polis.

“Pecahan yang ditahan melibatkan Geng 21 seramai 29 orang; Geng 36 (16 orang); Geng 04 (9 orang); Geng 08 (8 orang); Hong Hong San (2 orang); Ang Kong Kia (1 orang) dan Ngo Sek Kee (5 orang).

“Hasil daripada tindakan diambil polis, 18 daripada mereka dikenakan perintah tahanan selama dua tahun manakala dua lagi dikenakan perintah pengawasan dua tahun,” jelasnya.

Justeru, Ayob Khan menasihati orang awam agar tidak terlibat dan menyertai mana-mana pertubuhan kongsi gelap dan pihaknya komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengganggu gugat kesejahteraan awam di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya