112 calon sibuk kempen siang, malam pancing undi

PRN Melaka semakin hangat, 112 calon sibuk kempen siang, malam pancing undi

pru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sema­kin hangat apabila 112 calon bertanding sibuk berkempen siang dan malam memancing undi.

Berbanding empat hari lalu, kempen pilihan raya itu dilihat masih suram kerana terdapat calon keliru terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan Covid-19.

Sebaliknya bermula sema­lam, kemeriahan ‘pesta pilihan raya’ semakin terasa setelah seluruh pelosok kawasan negeri ini mula dipenuhi bendera dan poster calon.

Malah, perang manifesto pilihan raya semalam menambah suhu politik Melaka apabila Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing menawarkan janji-janji untuk memikat hari pengundi.

Ada juga calon dilihat cuba mendekati media agar mereka dapat diberikan ruang liputan walaupun pada mulanya mereka sukar dihubungi dan enggan bertemu dengan wartawan.

Selain itu, terdapat calon mengambil peluang berkempen dengan cara normal baharu iaitu secara maya ekoran sekatan kempen fizikal seperti ditetapkan MKN.

Misalnya, PH menganjurkan ceramah secara langsung di Facebook pada sebelah malam, malah terdapat wawancara sembang politik dianjurkan DAP selaku salah komponen PH.

BN tidak kurang hebat apabila terdapat calon-calon mudanya berkempen secara maya dan contoh paling ketara adalah seperti calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Selain kempen media sosial, terdapat calon dilihat turun padang mengedar risalah di kawasan-kawasan tumpuan dengan pematuhan SOP ketat.

Calon PN bagi kerusi DUN Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin juga dilihat turun padang mengedarkan posternya.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN Melaka yang ke-14 pada 4 Oktober sepertimana di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.

Perkara itu ekoran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan menarik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN