PUTRAJAYA: Kementerian Luar di sini semalam memanggil Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing bagi menyatakan bantahan atas isu pencerobohan kapal negara itu.
Menurut kenyataan Wisma Putra lewat malam tadi, langkah tegas itu bagi melahirkan pendirian protes Malaysia terhadap pencerobohan banyak kapal China di perairan negara ini.
“Keberadaan dan aktiviti kapal itu termasuk jenis penyelidikan, di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di luar pesisir Sabah dan Sarawak bertentangan dengan undang-undang,” katanya.
Ini meliputi Akta ZEE 1984 melibatkan 370 kilometer dari pantai dan Konvensyen Undang-Undang Laut (KUUL) Pertubuhan Bangsa Bersatu 1982 yang juga diratifikasi China pada 1994.
Terdahulu, beberapa pemimpin politik tempatan Sabah menyuarakan keresahan berhubung sikap biadab kapal China sengaja menceroboh perairan di negeri tersebut kebelakangan ini.
Malah Utusan Malaysia secara eksklusif melaporkan sejumlah kapal Pengawal Pantai China mengiringi kapal penyelidikan Da Yang Hao memasuki ZEE Malaysia pada 26 September lalu.
Tindakan negara rejim komunis tersebut sebagai amaran balas kepada Malaysia yang kebetulan sehari sebelum itu mengadakan latihan bersama dengan Amerika Syarikat (AS) di zon ini.
Langkah mengejut Beijing itu dipercayai sebagai isyarat keras kepada Putrajaya yang turut melancarkan Op Curiga bagi mengekang kehadiran banyak pesawat China di ruang udara ZEE.
Kehadiran ratusan kapal tentera dan pesawat China juga bagi memberi mesej kepada negara ASEAN agar tidak cuba menuntut perairan Laut China Selatan yang kaya dengan hasil minyak.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, pendirian Malaysia itu juga adalah konsisten berdasarkan perundangan antarabangsa demi mempertahankan hak dan kedaulatan perairan negara ini.
“Malaysia sebelum ini pernah membantah pencerobohan oleh kapal-kapal asing yang lain dan kepentingan negara akan terus dijadikan sebagai asas utama,” kata kenyataan tersebut.
Dalam menentukan tindakan pendirian yang diambil oleh Malaysia berhubung isu Laut China Selatan, isu kompleks melibatkan hubungan antara negara juga akan diberi pertimbangan besar.
Kerajaan bahkan mengulangi ketetapan bahawa semua perkara yang berkaitan laut itu perlu diselesaikan secara aman, konstruktif dan selaras prinsip undang-undang sejagat yang diiktiraf.
Malaysia antara 167 negara yang sudah meratifikasi KUUL sejak 1994 dan perjanjian itu turut merangkumi ZEE bagi mengelakkan konflik pertikaian tuntutan bertindih antara negara berjiran. – UTUSAN ONLINE










