Wiski Timah provokasi sentimen umat Islam  - Utusan Malaysia

Wiski Timah provokasi sentimen umat Islam 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggunaan jenama arak dengan perkataan bahasa Melayu seperti ‘Timah’ adalah satu strategi penjenamaan bersifat provokatif terhadap masyarakat majoriti Melayu Islam di negara ini.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berpandangan, ia adalah satu tindakan tidak wajar meskipun dijelaskan syarikat pengeluar bahawa perkataan ‘Timah’ yang digunakan itu tidak merujuk kepada nama wanita, sebaliknya terjemahan Bahasa Melayu kepada perkataan ‘tin’.

“Tidak kurang provokatifnya juga tindakan melancarkan jenama arak ini secara rasmi pada 7 Oktober lalu, semasa umat Islam berada dalam suasana menyambut peristiwa kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

“Meskipun ada sebahagian agama membenarkan arak, namun ia tidak sewajarnya dipromosi secara terbuka dan meluas kepada seluruh masyarakat yang majoritinya dalam kalangan Muslim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yadim berkata, mereka boleh sahaja menghasil dan mengedar arak secara terhad kepada golongan dibenarkan meminum arak dengan pilihan jenama yang banyak tanpa menyentuh sensitiviti umat Islam.

Justeru, Yadim membantah penjualan arak menggunakan jenama Timah itu kerana ia jelas haram di sisi Islam, selain membawa keburukan terhadap masyarakat.

Dalam pada itu, Yadim turut kesal biarpun arak berjenama ini didaftarkan cap dagangan sejak 2019 dan menerima anugerah antarabangsa sejak tahun lalu, polemik yang timbul seolah-olah mengulangi kembali kontroversi penggunaan jenama biasa dengan masyarakat Melayu Muslim seperti produk makanan berasaskan babi iaitu Burger P Ramly (Pork) dan Restoran Naughty Nuri yang hangat sekitar tahun 2016.

 “Tindakan-tindakan ini amat tidak sensitif terhadap sentimen masyarakat Muslim di Malaysia dan memberikan imej buruk kepada kerajaan. 

“Tindakan berterusan memprovokasi sentimen umat Islam harus segera dihentikan kerana ini pastinya menggugat keharmonian umat Islam yang menjadi teras kestabilan negara ini,” katanya. 

Yadim pada masa sama bersetuju dengan tindakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melaporkan kepada kementerian-kementerian yang mempunyai bidang kuasa terhadap penjualan arak di Malaysia untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Mengulas lanjut, Yadim sebagai sebuah yayasan milik kerajaan akan menggunakan saluran yang ada bagi menyatakan pendirian kepada pihak kerajaan supaya mengambil langkah lebih proaktif terhadap industri yang lama bertapak di Malaysia ini.

Sebagai sebuah badan dakwah, Yadim menggunakan pendekatan memberi kesedaran terhadap isu ini selain menggerakkan rakan-rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyatakan penolakan terhadap arak yang dianggap sebagai najis di dalam Islam selain disifatkan sumber kemudaratan masyarakat secara umumnya.

Semalam, media melaporkan kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengecam pengeluaran arak jenama Timah yang didakwa menghina agama Islam selain produk minuman beralkohol itu dipercayai berbahaya kerana kandungan alkohol sangat tinggi.

CAP berkata, jenama Timah itu memalukan dan satu penghinaan kepada umat Islam kerana jenama yang ditonjolkan mengaitkan nama Melayu Islam iaitu Timah, singkatan daripada Fatimah. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya