KUALA LUMPUR: Parti Warisan Sabah (Warisan) memutuskan untuk tidak bertanding dan mencampuri urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal diadakan 20 November ini, sebaliknya memberi fokus kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, partinya menyerahkan PRN itu kepada yang sedia ada kerana berpandangan masih terlalu awal untuk meletakkan sebarang calon di situ.
Katanya, hasrat itu juga bagi mengelakkan timbul sebarang masalah dengan keadaan politik sekiranya Warisan ikut campur di situ.
“Apa yang penting kepada kita adalah kita buat persediaan PRU-15 dan kita tak campur untuk PRN kali ini walaupun ada permintaan.
“Namun, bilangan kerusi (PRU-15) dan calon masih lagi belum diputuskan,” katanya dalam sidang akhbar di Anjung Melayu, di sini hari ini.
Pada 20 Oktober lepas, media melaporkan, Warisan berada pada landasan yang tepat untuk melebarkan sayap ke Semenanjung menerusi kerjasama dengan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi membolehkan calon-calon Muda bertanding di bawah logo Warisan.
Menurut Mohd. Shafie, pihaknya juga menyedari hakikat bahawa partinya tidak dapat menandingi secara bersendirian kerana tetap memerlukan allign bersama parti politik dari Semenanjung.
Beliau juga sudah mengadakan perbincangan bersama Pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa pimpinan di beberapa tempat setakat ini untuk menyatakan hasrat dan kesediaan mereka menyertai Warisan.
“Ini merupakan satu usaha yang kita harus teliti secara mendalam kerana yang penting adalah menyediakan satu landasan perkhidmatan yang diberikan selaras dengan apa yang diharapkan oleh pengundi yang ada, jadi ini yang penting kepada kita.
“Kita tak mahu selepas menjadi calon, pemimpin itu melompat dan ini menjadi masalah dengan perkhidmatan yang sepatutnya sebagai seorang pimpinan.
“Itu penting kepada masyarakat pengundi yang telah memberi keyakinan kepada pimpinan untuk mereka memberi undi yang ada.
“Persiapan parti untuk melebarkan sayap di Semenanjung juga sudah berjalan lancar dan memerlukan sedikit masa lagi,” katanya.










