Warisan kerjasama dengan Muda lebar sayap ke Semenanjung - Utusan Malaysia

Warisan kerjasama dengan Muda lebar sayap ke Semenanjung

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) berada pada landasan yang tepat untuk melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia menerusi kerjasama dengan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Perkara itu sekali lagi dinyatakan oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam program dialog The Concorde Club yang disertai pengarang-pengarang kanan media secara dalam talian hari ini.

Mohd. Shafie berkata, beliau akan membentuk kerjasama secara rasmi dengan Muda bagi membolehkan calon-calon Muda bertanding di bawah logo Warisan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Warisan akan kekal sebagai parti berbilang kaum. Saya mahu anak muda bersama-sama kita kerana anak muda sudah bersedia melakukan perubahan.

“Saya juga telah memaklumkan kepada Syed Saddiq bahawa terpulang kepadanya jika Muda mahu bertanding di bawah logo Warisan sekiranya parti itu masih belum berdaftar (sebelum PRU-15),” katanya.

Ahli Parlimen Semporna berkata, Warisan yang merupakan parti tempatan Sabah mula memperluaskan pengaruhnya menerusi slogan Perpaduan atau Unity yang mula diguna pakai semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pada 9 April lalu, Mohd. Shafie menyatakan dengan jelas bahawa Warisan sedia bekerjasama dengan Muda yang diterajui Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk melebarkan sayap ke Semenanjung.

Kemudian baru-baru ini, beliau mengulangi perkara sama dengan menyatakan hasrat itu akan direalisasikan sebelum hujung tahun ini.

Jelas Mohd. Shafie, langkah melebarkan sayap parti ke Semenanjung tidak boleh terlalu lewat dan ia harus dilaksanakan pada tahun ini.

Muda ditubuhkan Syed Saddiq selepas keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama mentornya Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sehingga kini, pendaftaran Muda masih belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya