Warisan buka cawangan di Titiwangsa dan Segambut? - Utusan Malaysia

Warisan buka cawangan di Titiwangsa dan Segambut?

KAIN rentang yang menyatakan Warisan membuka cawangan di Segambut dan Titiwangsa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Adakah Parti Warisan Sabah (Warisan) sudah membuka bahagian, cawangan dan keahlian secara rasmi di Semenanjung Malaysia? 

Ketika Warisan masih belum memaklumkan tarikh sebenar pelancaran sayapnya setelah tertangguh beberapa kali akibat pandemik Covid-19, tular pula di media sosial mengenai kain rentang bersama gambar Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dengan kenyataan ‘Parti Warisan Bahagian Titiwangsa P119’ dan Segambut. 

Kain rentang dan gegantung tersebut turut menyatakan bahawa pendaftaran keahlian Warisan boleh dilakukan di sini (Titiwangsa dan Segambut) berserta nombor telefon 019-223-4184. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Sipin Padua bagaimanapun menafikan partinya sudah membuka bahagian dan cawangannya secara rasmi di Semenanjung. 

Hal itu kerana, proses pembukaan cawangan sesebuah parti perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebelum dibenarkan menggerakan cawangan di bahagian masing-masing. 

“Warisan belum membuka sebarang cawangan lagi di Semenanjung. Kena ada pengesahan daripada RoS. Memang Warisan ada membuka pendaftaran menyertai parti tetapi belum ada pengesahan untuk membuka cawangan. 

“Gambar ini (kain rentang) ini untuk keguanaan pejabat tetapi mungkin ada pihak luar yang mengambil gambar tersebut dan menularkannya di media sosial,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Sejak dua hari lalu, beberapa pengguna media sosial berkongsi beberapa hantaran yang memaparkan kain rentang dan banting parti Warisan di dua bahagian tersebut yang menimbulkan spekulasi sama ada Warisan sudah membuka cawangannya di Semenanjung. 

Pada 26 April lalu, Warisan dilaporkan melancarkan sayapnya secara rasmi di Semenanjung selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri Mei lalu sekali gus dapat mengembangkan ideologi parti untuk menyatupadukan seluruh rakyat negara ini.

Mengulas lanjut, ditanya mengenai persediaan pelancaran sayap parti kawasan yang akan diletakkan sebagai cawangan rasmi di sini, kata Loretto, prosesnya masih berjalan. 

“Ia berjalan lancar cuma tidaklah secara menyeluruh. Kami akan tekankan (pembukaan cawangan) nanti di kawasan yang ramai penduduk Sabah yang juga berpotensi menarik lebih ramai orang menyertai parti. 

“Setakat ini kami mendapat balas yang positif daripada orang ramai yang ingin bersama Warisan, peratusannya belum ada cuma memang ramai,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN