Upacara pengebumian cetus kluster punca Kg. Mokodou kena PKPD - Utusan Malaysia

Upacara pengebumian cetus kluster punca Kg. Mokodou kena PKPD

PENDUDUK Orang Asli di Kampung Chadak, Perak antara lokaliti dikenakan PKPD ekoran kluster komuniti. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah perkampungan dihuni majoriti masyarakat etnik Dusun di Sabah iaitu Kampung Mokodou, Daerah Ranau antara dua lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Isnin ini.

Kawasan itu diisytiharkan sebagai ada kluster komuniti oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah pada Rabu lalu susulan 94 kes Covid-19 dikesan akibat upacara pengebumian penduduk.

Kes indeks daripada seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun dikesan positif di Hospital Ranau pada 25 September lalu setelah isterinya meninggal akibat kanser usus sebelumnya.

Seramai 146 orang kontak rapat meliputi hampir 60 peratus penduduk kampung itu dan ramai ahli keluarganya dari Kampung Tumbalang dikesan bersesak menghadiri upacara tersebut.

Satu lagi lokaliti iaitu di Kampung Orang Asli Chadak, Mukim Tanjung Rambutan, Daerah Kinta, Perak dilaksanakan sekatan mulai esok, iaitu perkampungan komuniti kaum Orang Darat suku Semai di kawasan seluas 1,000 hektar yang sudah lengkap menerima vaksin.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rodzi Md. Saad
memaklumkan, PKPD di Kampung Ulu Pareh, Daerah Bentong, Pahang yang sepatutnya berakhir esok, disambung lagi sehingga 17 Oktober ini

Perkampungan etnik Semai itu telah diwartakan PKPD sejak 21 September susulan 77 kes Covid-19 disebabkan kluster komuniti daripada seorang penduduk bergejala pada bulan lalu.

Bagaimanapun ujarnya, satu lagi perkampungan Orang Asli di negeri itu di Kampung Sungai Koi, Daerah Jerantut yang didiami etnik Jah Hut pula ditamatkan esok seperti dijadualkan.

Begitu juga tiga perkampungan Orang Asli dari etnik Semai dalam Daerah Cameron Highlands iaitu Kampung Sungai Kabuk, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong.

Sementara satu lagi PKPD di negeri tersebut melibatkan kawasan Pasdec Bandar Damansara, Daerah Kuantan pula tamat hari ini iaitu enam hari lebih awal, selain Kampung Tamu Darat, Daerah Kota Belud, Bahagian Pantai Barat didiami etnik Dusun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya