UMNO Sabah bantu jentera pilihan raya PRN Melaka - Utusan Malaysia

UMNO Sabah bantu jentera pilihan raya PRN Melaka

YAKUB KHAN (dua kiri) menyampaikan peranti kepada salah seorang pelajar SMK Kolombong di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ketetapan Kementerian Kesihatan dalam mengehadkan aktiviti kempen tidak akan menghentikan usaha UMNO Sabah membantu calon Barisan Nasional (BN) berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kaedah yang bersesuaian akan dikenal pasti bagi memastikan jentera UMNO Sabah dapat menyumbang tenaga dalam membantu calon-calon BN pada PRN Melaka.

Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, secara peribadi, beliau begitu dekat dengan Melaka kerana semasa PRN Sabah, jentera BN Melaka banyak membantunya berkempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai.

“Saya terhutang budi dengan mereka maka, saya akan membalas sedaya yang termampu.

“Walau bagaimanapun, kita belum menetapkan jumlah jentera dan tempoh mereka akan berada di Melaka. Apa yang pasti, kita akan saling membantu,” katanya selepas majlis penyerahan peranti Cerdik di dua buah sekolah, di sini hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ini berkata, walaupun akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, beliau akan memastikan kerjasama dan bantuan daripada UMNO Sabah dapat dihulurkan.

Dalam majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai ini turut menyampaikan peranti di bawah Program Cerdik kepada 356 orang pelajar sekolah rendah dan menengah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tebobon dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kolombong.

Di seluruh Sabah, seramai 150,000 orang pelajar akan menerima peranti menerusi program yang akan membantu keluarga kurang berkemampuan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan lebih baik.

Jelas beliau, agihan peranti ini akan dilakukan secara berperingkat kerana proses pembelian dan bekalan mengambil sedikit masa untuk diagihkan kepada pelajar yang telah dikenal pasti di seluruh negeri.

Program Cerdik adalah sebahagian daripada inisiatif jangka panjang dalam menyediakan akses digital untuk pendidikan dan merangkumi dua komponen utama akses kepada peranti dan ketersambungan data.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya