PETALING JAYA: UMNO hari ini mengeluarkan surat gugur keahlian kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Pantai Kundur, Datuk Nor Azman Hassan.
Memetik laporan berita tempatan, surat dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan keahlian mereka dalam UMNO gugur dengan sendirinya berkuat kuasa serta-merta di bawah Fasal 20.11 dibacakan bersama Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.
Sebelum ini, Idris dan Nor Azaman bersama ADUN Bebas Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN BERSATU Telok Mas, Datuk Noor mendakwa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
Susulan itu, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam telah bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Keempat Belas berkuat kuasa kelmarin. UTUSAN ONLINE










