KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang didapati menyebar bahan-bahan kebencian kaum dan agama melalui media sosial akan diambil tindakan termasuk dibuang kerja sekiranya bersalah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, tindakan juga akan diambil sekiranya penjawat awam iu didapati menyokong ideologi radikal yang bertentangan dengan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, katanya, menggunakan kedudukan di dalam kerajaan untuk menyebarkan fahaman politik atau agama secara ekstrem juga merupakan kesalahan.
“Sekiranya melibatkan penjawat awam, tindakan-tindakan boleh diambil di bawah peruntukan undang-undang sedia ada termasuk di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505 Kanun Keseksaan.
“Tertakluk pada Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, membolehkan tindakan tatatertib kepada penjawat awam termasuk amaran, gantung atau buang kerja. Saya rasa penjawat awam faham peraturan ini,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan dari Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof mengenai ancaman ekstremisme politik dalam kalangan penjawat awam yang memuat turun bahan-bahan kebencian kaum dan agama.
Shamsul Anuar menegaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan tidak kompromi terhadap mana-mana tindakan yang boleh menimbulkan permusuhan antara kaum, menjejaskan hubungan antara agama atau menggugat keselamatan negara.
“Semua tindakan akan diambil berasaskan undang-undang dan prosedur tatatertib yang berkuat kuasa.
“Ini bagi memastikan isu-isu integriti, profesionalisme perkhidmatan awam kekal terpelihara dan negara diberi keutamaan,” katanya. -UTUSAN










