Lelaki Thailand bawa 331kg dadah didakwa di mahkamah

Lelaki Thailand bawa 331kg dadah didakwa di mahkamah

MUHAMMAD Chemudo dihadapkan didakwa atas pertuduhan mengedar 331kg dadah jenis methamphetamine di Mahkamah Majistret Jitra di Kubang Pasu, hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Seorang lelaki Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 331 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Chemudo, 37, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang sebelum itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia memahami bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar 331kg methamphetamine di sekitar kawasan hutan Durian Burung dalam daerah Padang Terap kira-kira pukul 7 pagi, 9 Disember lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat sekurang-kurangnya 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badan di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap kira-kira pukul 9.25 malam, hari sama.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta tersebut yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan patologi serta kehadiran jurubahasa bahasa Thai.

Akhbar ini pada Ahad lalu melaporkan pasukan keselamatan berjaya menahan seorang lelaki warga Thailand dan merampas 331 kg dadah jenis syabu bernilai hampir RM11 juta dalam satu operasi bersepadu di hutan Durian Burung berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Dadah berkenaan dibungkus menggunakan pembalut racun tikus dan makanan kering sebelum dipikul menggunakan guni yang diubah suai bagi mengaburi mata pihak berkuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN