PONTIAN: UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih mengumpul maklumat dan maklum balas daripada pemimpin parti dan orang ramai sama ada akan bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atau sebaliknya.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Khamis lalu juga belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.
Bagaimanapun katanya, persiapan bagi menghadapi PRN Melaka tetap dilakukan dengan jentera pilihan raya mula digerakkan yang melibatkan enam kawasan Parlimen dan 28 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, UMNO juga sedang menunggu keputusan mesyuarat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin ini bagi menentukan sama ada PRN Melaka dapat dijalankan atau tidak.
“Andaian ada pihak yang menyatakan PRN Melaka akan melibatkan pertandingan sehingga enam penjuru adalah tidak tepat kerana BN dan UMNO masih belum membuat sebarang keputusan untuk bertanding bersendirian atau sebaliknya.
“Sebenarnya masih terlalu awal untuk kita memberikan gambaran akan berlaku pertandingan seperti itu (enam penjuru) di Melaka kerana semua parti belum menyatakan keputusan masing-masing termasuk BN dan UMNO.
“Semua pihak boleh menyatakan pandangan mereka masing-masing mengenai PRN Melaka, namun bagi BN dan UMNO tiada sebarang kata putus dibuat ketika ini,” katanya selepas merasmikan kedai makan Nasi Ayam Bohari di Pontian Besar di sini hari ini.
Pada Rabu lalu, SPR melalui Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, Mesyuarat Khas berkaitan urusan PRN Melaka Ke-15 akan diadakan pada pukul 10 pagi, Isnin ini yang akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.
Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, sekiranya SPR telah membuat keputusan mengenai PRN Melaka tentunya ia akan memudahkan gerak kerja parti, namun ketika ini semua perkara masih belum terjawab.
Ditanya kemungkinan UMNO dan BN akan bergabung dengan Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN), Ahmad menjelaskan semuanya masih belum mempunyai kata muktamad.
“Semua belum ada keputusan, setakat ini kami sedang mengumpul maklumat bagi mendengar sendiri daripada suara akar umbi, tunggulah,” katanya.
Pada 5 Ogos lalu, DUN Melaka telah dibubarkan seperti dimaklumkan oleh Speaker DUN, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka.










