133 PATI ditahan kerja kilang secara haram

133 PATI ditahan kerja kilang secara haram

Seramai 133 pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas dalam operasi bersepadu di dua buah kilang di kawasan perindustrian Lembah Klang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERI KEMBANGAN: Seramai 133 pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas dalam operasi bersepadu di dua buah kilang di kawasan perindustrian Lembah Klang, hari ini.

Operasi dilaksanakan bersama agensi sahabat termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bermula 11 pagi hingga 12 tengah hari, membabitkan 145 pegawai.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 162 individu diperiksa dalam operasi itu dan 133 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi berasingan di Balakong dan Shah Alam.

“Antara warga asing yang ditahan warga Indonesia seramai 11 orang, Bangladesh (65), India (4), Myanmar (17), Nepal (15), Pakistan (18), Vietnam (1) dan China (2), majoriti lelaki berumur antara 20 hingga 45 tahun.

“Kesalahan yang dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa dan pemegang kad tidak diiktiraf,” katanya dalam sidang akbar selepas meninjau operasi di sini, hari ini 

Zakaria berkata, semua tahanan warga asing akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

“Ia termasuk di bawah peruntukan  Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Zakaria turut mengingatkan orang ramai dan majikan untuk tidak menggaji atau melindungi PATI kerana ia kesalahan serius di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, Program Repatriasi Migran 2.0 berakhir April ini dan semua PATI dinasihatkan  segera mengambil peluang itu bagi mengelak tindakan penguatkuasaan lebih ketat selepas tempoh berakhir.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan PATI diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN