UMNO bertanding solo: Ahmad Maslan kata keputusan belum dibuat - Utusan Malaysia

UMNO bertanding solo: Ahmad Maslan kata keputusan belum dibuat

AHMAD Maslan (empat dari kanan) menyampaikan hadiah utama berupa sebuah basikal kepada pemenang cabutan bertuah dalam program kayuhan santai sempena HSN di Stadium Mini Pontian, di Johor. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Meskipun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah menyatakan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun keputusan untuk bertanding sendirian belum dimuktamadkan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan berkaitan hanya diketahui pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti tersebut, minggu depan.

“UMNO belum pun memutuskan untuk bertanding bersendirian, yang diumumkan oleh Presiden adalah dengan Bersatu sebagaimana resolusi Perhimpunan Agung UMNO yang lalu tetapi dengan parti lain belum ada kata putus.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keputusan hanya akan dibuat pada mesyuarat MT UMNO pada minggu depan termasuk kerjasama dengan Muafakat Nasional (MN),” katanya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah sempena Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Parlimen Pontian, di Stadium Mini Pontian, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menyifatkan keputusan UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menang tanpa meletakkan calon dalam kalangan mereka yang melompat parti.

Khamis lalu, Ahmad Zahid ketika mengadakan pertemuan dengan UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya di Melaka berkata, keputusan itu adalah muktamad seperti mana telah dibuat oleh semua perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020.

“Tak lambat dah, dulu kita dah buat keputusan tiada kerjasama dengan Bersatu. Itulah keputusan kita dan kita muktamadkan. Bukan setakat Bersatu sahaja kita tidak bekerjasama, ini termasuk dengan Perikatan Nasional (PN). Saya tidak nampak kita akan ke arah itu berganding pada PRN nanti,” katanya.

Sementara itu, beliau menyifatkan dakwaan pelbagai pihak kononnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan kalah jika bertanding sendirian di Melaka hanya sebagai pandangan peribadi kerana baginya semua parti berpeluang untuk menang berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 

Katanya, berdasarkan kepada rekod itu, walaupun BN bertanding bersendirian di Melaka pada 2018, gabungan itu memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding dua dimenangi Bersatu dan tiada sebarang kerusi berpihak kepada Pas.

Malah, beliau mengingatkan kemenangan Bersatu ketika itu juga disebabkan mereka bersama PH yang disokong oleh pengundi kaum Cina selain isu-isu yang dimanipulasi pembangkang.

“Tidak semudah itu andaian yang dibuat bekas Pengerusi PKR Johor (Hassan), rakyat Melaka tentu amat memahami ketika mereka berada di bawah PH, PN dan semasa BN.

“Kami bukan bermaksud terlebih yakin, namun semua parti yang akan bertanding menaruh keyakinan untuk menang termasuk BN dan UMNO dan mengharapkan rakyat Melaka tidak mengulangi kesilapan lalu,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×