KUALA TERENGGANU: Polis mengesan trend baharu pengedaran dadah di negeri ini yang menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Tium Ming Kung berkata, taktik terbaharu itu berselindung di sebalik butiran penghantaran yang memaparkan pembelian barangan kosmetik.
Katanya, sejak Jun lalu sebanyak tiga kes berkenaan dipatahkan pihak polis dengan satu di daerah ini manakala dua lagi di Marang.
“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pengedaran dadah menggunakan kurier bagaikan menjadi trend malah kita turut menahan seorang lelaki berusia 30-an di kaunter ketika suspek membuat penghantaran bungkusan yang disyaki dadah jenis heroin.
“Hasil rampasan menemukan lebih 10 tiub kecil yang seberat 50 gram dadah jenis heroin,” katanya dalam sidang akhbar Operasi Jihad Dadah 2.0 di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, malam tadi.
Ming Kung tidak menolak kemungkinan bekalan dadah itu diperoleh dari luar negeri untuk pasaran di sekitar daerah ini, Marang dan Kemaman.
Katanya, polis giat memantau mana-mana aktiviti pengedaran dadah sama ada secara dalam talian mahu pun pengeposan dalam usaha membanteras sindiket itu di Terengganu.










